Bila Hamil Anak Kelima, Barulah Ozlynn Mulai Alami Situasi Rasa Mual Yang Agak Teruk Dan Hilang Selera Makan

Pelakon, Ozlynn yang juga merupakan isteri kepada pelawak dan penyampai radio Era, Johan yang kini sedang hamil anak kelima mengakui ‘ragamnya’ kali ini agak berbeza berbanding pada fasa mengandung sebelumnya.

Ozlynn yang ditemui bersama suaminya ketika majlis pelancaran program realiti, Ceria Megastar di Saloma Bistro, Selasa lalu memberitahu, pada peringkat awal kehamilan, keadaan dirinya sudah agak lemah kerana sering rasa mual-mual.

“Saya dapat tahu diri mengandung ketika terlibat dalam program Super Spontan Supertar lalu. Masa tu saya sedang hamil enam minggu dan mengambil keputusan untuk tidak memberitahu pihak produksi. Jadi bila tamat saya program berkenaan, barulah saya beritahu mereka. Saya okay saya asalkan kesihatan bayi dalam kandungan berada dalam keadaan baik.

 

“Jadi pada peringkat awal kehamilan, saya sudah rasa mual-mual dan badan pun agak lemah. Ketika fasa mengandung sebelum ini, saya tidak pernah alami masalah besar sangat. Cuma kali ini mulai rasa nak muntah dan hilang selera makan. Bila usia kandungan capai lima bulan baru ada rasa selera,” katanya kepada MH.

Ditanya adakah dia turut alami situasi mengidam seperti mana ibu-ibu mengandung lain, pelakon Misteri Jenazah itu bagaimanapun tidak mengalami masalah tersebut, sebaliknya dia gemar makan cheese yang sebelum ini kurang digemarinya.

IKLAN

“Saya tidaklah alami masalah mengidam sangat. Cumanya dia macam sejenis dulu tak suka makan cheese, tapi kali ni jadi ‘hantu cheese,” seloroh Ozlynn yang turut membayangkan kehamilannya kali ini merupakan yang terkahir untuk dirinya. 

 

“Kalau ditanya si empunya badan, cukuplah buat sementara waktu kerana kali ini rasanya betul-betul penat. Apa pun kami tidak menolak rezeki yang dikurniakanNya selepas ini,” jelasnya.

Berkongsi perihal perkembangan seninya pula, Ozlynn dan suami akan terlibat di dalam sebuah program khas bersempena dengan hari raya nanti yang bakal disiarkan di Astro.

“InsyaAllah kami akan terbitkan beberapa program sendiri. Cuma yang terdekat ialah sebuah rancangan sempena raya melibatkan kami sekeluarganya. Kiranya ia lebih kepada nostalgia dan throwback kisah raya kami dulu,” akhiri Ozlynn. 

Foto: Instagram Jozlynnhanania

IKLAN