Berita

“Bila Dapat Tahu Keputusan Tu…,” – Lagu Cak Cak Cekuk Bakal Cipta Kejutan? Wani Kayrie Tak Mahu Letak Harapan Tinggi

Share

Penyanyi Wani Kayrie bersyukur apabila ada yang meramalkan lagu, Cak Cak Cekuk bakal mencipta kejutan seterusnya menjadi antara pencabar utama di Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40).

Menurut Wani, dia sebenarnya tidak menyangka lagu ini bakal berjaya ke peringkat separuh akhir lebih-lebih lagi apabila perlu bersaing dengan lagu-lagu yang lebih baharu.

“Saya sangat bersyukur bila ada yang meramalkan sebegitu. Sejujurnya saya tak sangka lagu ini akan berjaya ke peringkat separuh akhir kerana ia telah dihantar sangat awal.

“Lagu ini pun sudah lama berada di dalam carta dan peringkat separuh akhir juga telah dianjak lebih lewat. Pada mulanya, saya ingat mungkin tak dapat.

“Bila dapat tahu keputusan itu, saya rasa sangat gembira bagi pihak mereka yang sentiasa mendoakan lagu ini. Ramai yang mengharapkan agar lagu ini lolos ke AJL.

“Jadi, saya bawa kegembiraan mereka yang sokong lagu ini sejak pertama kali ia viral,” katanya kepada MH.

Wani atau nama sebenarnya, Syazwani Abdullah berkata sedemikian ketika ditemui di majlis rumah terbuka All Star Influencer Award (ASIA), baru-baru ini.

Dalam masa sama, Wani akui dirinya berasa sedikit tertekan bila ramai pihak yang meletakkan harapan tinggi kepada lagu Cak Cak Cekuk sebagai wakil tunggal untuk genre etnik kreatif di AJL40.

“Perasaannya mungkin nampak mudah. Namun, saya akui agak tertekan kerana orang akan meletakkan harapan yang tinggi untuk lagu ini.

“Ramai yang berkata, sudah lama lagu entik kreatif tidak masuk ke final AJL. Secara tidak langsung, ia sedikit memberi tekanan kepada saya untuk buat persembahan terbaik di pusingan separuh akhir nanti.

“Apapun, saya akan cuba buat yang terbaik, ujarnya lagi.

Jelas Wani lagi, dia dan pasukan sedang giat membuat persiapan untuk menampil persembahan terbaik di saingan separuh akhir, hujung minggu ini.

“Setakat ini, segala perancangan sudah pun selesai. Saya pun sudah pergi ke kelas vokal untuk mantapkan lagi suara saya. Kini saya hanya perlu fokus kepada latihan tarian.

“Kita memang tak boleh tinggal bahagian tarian ini kerana ia adalah akar dan kekuatan untuk lagu ini. Persediaan kini lebih tertumpu kepada diri sendiri.

“Saya kena jaga mental dan fizikal,” katanya lagi.

Bimbang Terlalu Mengharap

Ditanya mengenai harapannya secara peribadi, Wani enggan meletakkan harapan yang terlalu tinggi kerana enggan dipukul rasa kecewa.

“Saya tak nak meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Sebelum ini, saya pernah meletakkan harapan yang tinggi tapi lagu saya tidak berjaya.

“Saya tak pernah patah semangat dan sedia untuk mencuba lagi. Namun, bila orang sudah meletakkan harapan yang tinggi untuk lagu ini, harapan saya masih 50-50.

“Kalau lagu ini tidak berjaya, bukan saya sahaja tapi orang lain juga akan bersedih. Apa-apa sahaja boleh berlaku.

“Perjalanan nak ke separuh akhir ini pun masih panjang. Saya cuma berharap diri saya bersedia dari segi mental dan fizikal,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

 

Published by
Aizam Manaf