Berita

“Bila Bertanding, Kita Sama Sahaja,” – Dayang Nurfaizah Belum Fikir Berehat, Mahu Terus Cabar Diri Di Pentas AJL

Share

Penyanyi tersohor Dayang Nurfaizah memaklumkan dirinya masih belum berhasrat untuk berehat daripada bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), meskipun ramai rakan seangkatannya sudah mula memperlahankan langkah.

Menurut Dayang, selagi diberikan rezeki dan kepercayaan, dia akan terus berusaha memberikan persembahan terbaik di acara muzik tahunan itu.

“Selagi ada rezeki, selagi itulah saya akan buat sehabis baik. Segalanya bergantung kepada rezeki masing-masing. Selagi diberikan peluang, saya sangat bersyukur.

“Saya juga akan sentiasa memikirkan tentang kelainan, konsep persembahan dan apa sahaja yang boleh diperbaiki.

“Saya pun tak mahu terlalu memikirkan soal bertanding. Saya hanya mahu fokus dengan persembahan saya pada malam itu nanti,” katanya kepada MH.

Penyanyi lagu Di Pintu Syurga itu berkata demikian ketika ditemui di acara separuh akhir Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), baru-baru ini.

Dayang mempertandingkan lagu Lemah ciptaan komposer dan penyanyi, Hael Husaini.

Tak Terbuai Pujian, Tekanan Tetap Sama

Dalam masa sama, Dayang juga tidak mahu hanyut dibuai pujian apabila ada yang meramalkan kehadirannya di AJL40 mampu memberikan persaingan yang lebih sengit.

“Jika ada yang rasa sebegitu, saya sangat berterima kasih. Bila masuk bertanding, kita semua sama sahaja. Semua nak melakukan yang terbaik.

“Saya sebenarnya masih terkejut dan tak sangka lagu Lemah ini mampu ke pentas yang besar.

“Bukanlah tak meletakkan harapan tapi bila setiap kali saya melancarkan lagu atau album, saya hanya mahu pastikan yang saya boleh bawa lagu ini sejauh mungkin,” katanya lagi.

Meskipun sudah kerap bertanding di pentas AJL, Dayang tidak menafikan dia tetap merasai tekanan dan gementar setiap kali beraksi.

“Tekanannya masih sama walaupun untuk artis berpengalaman. Setiap tahun, tekanannya pasti berbeza. Peserta dan lagu yang bertanding juga berbeza.

“Setiap tahun, ekspektasi orang sangat tinggi. Namun, saya anggap itu sebagai satu tanggungjawab sebagai seorang penyanyi untuk tampilkan persembahan terbaik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dayang turut meluahkan rasa kagum terhadap kesungguhan artis-artis baharu yang semakin berani menampilkan identiti tersendiri.

“Saya sangat gembira dengan perkembangan industri kita. Makin ramai artis yang berani bawa indentiti sendiri. Saya boleh bayangkan AJL40 nanti akan jadi lebih meriah.

“Semangat mereka juga lain macam. Saya pun kena buat lebih baik,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf