
Penyanyi, Aliff Kimiey mahu memanfaatkan peluang menyertai program Big Stage Rocketfuel bagi mengukuhkan lagi namanya dalam industri hiburan dan tidak hanya dikenali menerusi media sosial semata-mata.
Menurut Aliff, dia kini berazam untuk menyusun semula perjalanan kerjaya seninya selepas hampir dua tahun memperlahankan aktiviti dalam bidang muzik.
“Saya sertai program ini untuk memperkuatkan lagi nama saya. Bukan sekadar dikenali di media sosial sahaja. Saya mahu menjadi anak seni yang versatil.
“Sebelum ini, nama saya agak dikenali juga. Namun, sejak dua tahun kebelakangan ini, saya memperlahankan kerjaya muzik kerana saya menceburi bidang lain.
“Bila saya dapat tahu mengenai program Big Stage Rocketfuel ini, apa salahnya saya mencuba. Ketika itu, saya merasakan jika ada rezeki saya, adalah,” katanya kepada MH.
Aliff berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Big Stage Rocketfuel yang berlangsung baru-baru ini.
Dalam pada itu, anak jati Kota Bharu, Kelantan ini percaya kelebihan dari segi penampilan serta kemampuan vokalnya mampu menjadi antara kekuatan utama untuk bersaing dalam program realiti nyanyian tersebut.
“Saya boleh cakap diri saya ini handsome dan ada rupa. Dari segi vokal pula, saya mungkin boleh bersaing dengan peserta-peserta lain.
“Saya juga mahu mencabar diri dengan mencuba lebih banyak genre lain. Saya mahu jadi penyanyi versatil,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Aliff mengakui dirinya sudah bersedia untuk berdepan dengan segala bentuk tekanan sepanjang pertandingan berlangsung, termasuk komen negatif dan kritikan di media sosial.
“Jika saya dikecam atau dihentam netizen, saya tak kisah pun. Saya sudah lali untuk berhadapan dengan kecaman. Saya tidak akan ambil hati baik komen negatif atau positif.
“Saya akan terima apa sahaja bentuk komen daripada netizen,” kongsinya lagi.
Malah, Aliff turut memaklumkan dia sudah biasa menerima komen-komen nakal dan usikan daripada pengguna media sosial.
“Komen-komen nakal itu biasa. Kebanyakkan yang hantar komen itu adalah golongan lelaki. Saya tak melayan dan abaikan sahaja,” kongsinya lagi.
Ditanya mengenai figura yang menjadi idolanya dalam bidang nyanyian, Aliff memaklumkan dia cukup mengagumi perjalanan kerjaya Khai Bahar yang disifatkan sebagai sumber inspirasi sejak awal penglibatannya dalam dunia nyanyian.
“Saya terinspirasi dengan perjalanan kerjayanya. Dia adalah sumber inspirasi sejak saya mula menyanyi pada usia 12 tahun lagi. Saya juga mula menyanyi di aplikasi Smule sama seperti Khai Bahar.
“Tahun demi tahun, dia buat saya terinspirasi untuk ikut jejak langkah dia. Saya bukanlah nak ikut 100%, saya mahu jadi penyanyi versatil sama seperti dia.
“Dapat ikut 1% pun sudah kira okay,” akhirinya.
Terdahulu, Aliff merupakan antara 10 peserta yang diperkenalkan untuk bersaing dalam Big Stage Rocketfuel selama lapan minggu.
Kesemua peserta bakal diadili oleh barisan juri tetap yang terdiri daripada penyanyi dan komposer terkenal tanah air iaitu Hael Husaini, Aisha Retno serta Akim Ahmad.
Sementara itu, pengacara popular Nabil Ahmad diberikan kepercayaan untuk mengendalikan program tersebut buat julung kalinya.
Big Stage Rocketfuel bakal bersiaran mulai 28 Jun ini, jam 9 malam menerusi saluran Astro Ria dan boleh distrim menerusi platform Astro GO serta sooka.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini