
Personaliti televisyen, Maria Tunku Sabri mendedahkan dia lebih selesa memendam perasaan sendiri apabila menerima sebarang kritikan sepanjang bersaing program Kilauan Emas Selebriti (KES).
Menurut Maria, dia mengakui pernah berasa sedih, namun memilih untuk tidak berkongsi kesedihan yang dialami bersama orang di sekelilingnya.
“Ada juga saya terasa hati. Saya cuma akan menangis apabila saya bersendirian.
“Terutama ketika mandi atau sebelum tidur. Tetapi sekarang ini, suami saya sudah mengetahui perkara itu.
“Sebelum ini, saya tidak pernah beritahu dia kerana tidak suka menyusahkan suami, mahupun anak-anak,” katanya kepada MH.
Malah, dia memilih untuk melalui segala kesedihan itu sendiri tanpa membebankan pihak lain, termasuk keluarga dan rakan-rakan terdekat.
“Biarlah saya lalui kesedihan itu seorang diri. Saya tidak suka menyusahkan hati orang lain.
“Baik ketua, kawan-kawan di pejabat, malah adik-beradik saya sendiri, saya memang tidak suka berkongsi perkara itu.
“Biarlah saya seorang yang menanggung kesedihan itu. Tapi dalam masa sama, saya tetap suka menggembirakan orang lain,” jelasnya lagi.
Dalam masa sama, bekas pengacara Jalan-Jalan Cari Makan itu menerima dengan hati terbuka apabila diumumkan tersingkir pada konsert minggu kelima KES, Sabtu lalu.
“Saya memang sudah menjangkakan perkara ini akan berlaku. Tidak mungkin semua lapan peserta akan dibawa ke peringkat separuh akhir dan final, jadi saya sudah bersedia.
“Guru vokal ada menyatakan saya mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh walaupun pada awalnya ada yang meragui kemampuan saya untuk menyanyi.
Namun, sehingga hari ini saya berjaya membuktikan bahawa saya mampu menyanyi dengan cara sendiri, Alhamdulillah,” katanya.
Tambahnya lagi, dia turut rasa puas dengan pencapaiannya sepanjang berada dalam industri, selain masih menyimpan hasrat untuk mencuba perkara baharu dalam seni.
“Saya juga sudah berpuas hati kerana sepanjang berada dalam industri. Misalnya saya sudah menjadi pengacara, pelakon dan kini berpeluang bergelar penyanyi.
“Cuma satu sahaja lagi yang ingin saya cuba selepas ini iaitu menjadi pelawak. Manalah tahu jika ada Muzikal Lawak Superstar, Insya-Allah saya mahu mencuba,” ujarnya lagi.
Berkongsi perancangan selepas tersingkir pula, Maria memaklumkan dia akan kembali kepada kerjaya hakikinya di stesen televisyen.
“Saya akan kembali bertugas seperti biasa. Dalam masa sama, sudah ada pihak yang bertanya untuk saya mengendalikan majlis sebagai pengacara.
“Bezanya sekarang, saya bukan sahaja boleh menjadi pengacara, malah boleh tampil dengan pakej nyanyian sekali.
“Insya-Allah, semua susunan lagu memang saya ada. Tetapi saya boleh bawa nyanyikan lima buah lagu sajalah. Lagu daripada minggu pertama sampai minggu kelima,” selorohnya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.