“Berlari-Larilah Kamu Di Syurga Allah,” – Jenazah Anak Ali Puteh Selamat Dikebumikan

Share

Pelawak Ali Puteh memaklumkan jenazah anaknya, Sharifah Ainul Nur Mardhiah telah pun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak, Kuala Lumpur selepas solat Asar tadi.

Perkara itu dimaklumkan Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan menerusi Instagram miliknya, sebentar tadi.

Ali yang juga ahli kumpulan Puteh turut berterima kasih kepada semua yang tidak henti-henti mendoakan kesejahteraan anaknya.

“Alhamdulillah selesai semuanya…berlari2 lah kamu di syurga allah…tggu walid dan ibu disana…,” tulisnya menerusi ruangan kapsyen.

Terdahulu akhbar melaporkan Ainul dalam keadaan kritikal apabila bergantung sepenuhnya dengan mesin bantuan pernafasan.

Ainul yang dilahirkan pada 6 Ogos lalu disahkan menghidap jaundis dan dipindahkan ke Hospital Ampang selepas lima hari dilahirkan.

Selain Ainul, Ali turut mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia dua tahun, Sharifah Nur Aaira Qaireen.

Terdahulu, Ali berkongsi berita memberitahu bayinya yang berusia tiga bulan itu disahkan meninggal dunia akibat masalah injap jantung terbalik dan jantung berlubang di Hospital Serdang pagi tadi.

Semoga Ali dan isteri tabah dengan ujian ini, al-Fatihah…

 

 

IKLAN