Categories: Berita

Bercinta 3 Minggu Lalu Ambil Keputusan Nikah, Hati Kaka Azraff Terbuka Untuk Kahwin Sebab ‘Usia Mencemburui Kita’

Share

Penyanyi Kaka Azraff mengakui dia sendiri tidak percaya hari ini, dirinya sudah pun memegang status sebagai isteri orang.

Malah katanya, momen perkenalan dan keputusan singkat yang dilakukan memberi makna besar di dalam hidup, apatah lagi apabila mengenangkan usia yang kian ‘mencemburui kita’.

Bagaimanapun katanya kepada MH, dia bersyukur kerana sepanjang majlis ijab kabulnya semua berjalan dengan lancar dan dipermudahkan.

“Saya rasa bersyukur, malah masih tak percaya yang diri ini sudah melangkah ke alam perkahwinan. Ia berlaku dalam masa yang begitu singkat. Tetap alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar, terima kasih kepada semua yang terlibat,” jelas Kaka.

Terdahulu, permaisuri hati kepada usahawan, Adam Azriff ini ditemui media sejurus majlis resepsinya yang dilangsungkan di The Property W&S di Sungai Buloh, Selangor pada Sabtu.

Mengulas lanjut mengenai perkenalan singkatnya lagi, Kaka tidak menafikan dia mengenali suaminya itu sudah lama, tetapi mulai rapat sejak setahun lalu.

“Dia lamar saya pada awal Oktober. Kami rapat sejak setahun lalu tetapi boleh dikatakan lebih kurang tiga minggu saja kami mulai intim,” akui Kaka yang lebih gemar menyifatkan perubahan status secara drastik itu adalah kerana hatinya memang telah terbuka untuk mendirikan rumah tangga.

“Saya taklah rasa ia dilakukan secara tergesa-gesa. Cumanya memang tidak sangka hati ini sudah terbuka untuk berkahwin.

“Kiranya mungkin doa saya jugalah sebab kalau jumpa orang yang serasi, saya memang nak terus kahwin. Tak nak buang masa sebab ‘usia mencemburui kita’. Jumpa yang betul, terus kahwin,” seloroh Kaka yang kini berusia 29 tahun sementara suaminya pula 24 tahun.

Ditanya mengenai majlis nikah yang dilakukan secara tertutup baru-baru ini, Kaka yang kini hadir dengan single baru berjudul Sibuk menjelaskan ia dilakukan sebagai menghormati keluarga kedua belah pihak.

Pada masa sama, pasangan ini juga tidak menolak andai dikurniakan zuriat rezeki awal dan turut merancang untuk berbulan madu di Kashmir.

Foto: Instagram Kaka azraff

IKLAN