Berita

“Berat Hati Tinggal Anak, Tapi Suami Minta Nak Berdua,” – 15 Tahun Berkahwin, Memey Suhaiza Sambut Hari Bahagia Di Turkiye

Share

Pelakon dan usahawan, Memey Suhaiza berkesempatan bercuti di Turkiye bersama suami tercinta yang juga Norman Hakim, bagi meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-15.

Menerusi satu hantaran di Instagram, Memey berkongsi momen istimewa tersebut yang turut diselubungi perasaan bercampur-baur apabila terpaksa meninggalkan anak-anak buat sementara waktu.

Menurut Memey, meskipun berat hati untuk berjauhan dengan anak-anak, dia tetap mengambil peluang tersebut atas permintaan suami untuk meluangkan masa berdua.

“Mummy papa bermusafir sekejap. Mummy macam berat hati sebab tinggal anak.

“Tapi suami request nak berdua.. Jadi ambilkan peluang untuk berehat sekejap,” tulisnya.

Istanbul & Cappadocia Jadi Pilihan

Dalam hantaran sama, pelakon drama Bukan Untukmu itu menganggap percutian ke Turkiye sebagai satu impian yang akhirnya menjadi kenyataan.

Malah, Istanbul dan Cappadocia menjadi lokasi pilihan pasangan ini untuk meraikan detik istimewa sempena ulang tahun perkahwinan mereka.

“Instanbul dan Cappadocia kami datang ni untuk meraikan hari kami. Salah satu tempat yang mummy dulu berangan…

“Alhamdulillah Allah izinkan untuk sampai ke sini Insya-Allah. Bismillah,” akhirinya.

Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian warganet yang rata-ratanya mendoakan agar rumah tangga pasangan ini terus bahagia dan kekal hingga ke akhir hayat.

Untuk rekod, Memey mendirikan rumah tangga bersama aktor Norman Hakim pada 24 September 2011.

Hasil perkahwinan itu, pasangan tersebut dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Darwisz Hakim, Muhammad Dikhriz Hakim dan Mikayla Delisha Hakim.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Nurdini Rosliza