Penyanyi popular era-80an, Ben Nathan bakal muncul dalam konsert pertamanya pada 21 Mei ini selepas bangkit daripada kehidupan sebagai gelandangan.

Konsert ‘Kasih dan Harapan- Ben Nathan’ anjuran Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) dengan kerjasama Jojo Enterprise bakal menghiburkan peminat di Saloma Bistro, di sini bermula pukul 12 tengah hari.

Presiden YA1M, Datuk DJ Dave berkata konsert tersebut bertujuan mengumpul dana bagi membantu kebajikan Ben dan menunaikan hasratnya untuk mengeluarkan ‘Single’nya di Jakarta, Indonesia.

“Konsert yang akan berlangsung selama satu jam 45 minit itu akan diserikan oleh beberapa artis tempatan seperti M. Nasir, Nash, Fredo, Ramlah Ram, Sahara Yaacob dan penyanyi remaja Maisarah Ukelele.

“Harga tiket bermula dari RM5,000, RM3,000 dan RM2,000 setiap meja dan tiket perseorangan berharga RM100 termasuk makan tengah hari.

IKLAN

“Diharap menerusi penjualan meja kami dapat mengumpul RM50,000 bagi membantu Ben,” katanya kepada pemberita selepas sidang media di sini, hari ini.

DJ Dave berkata Ben atau nama Islamnya, Ben Adam Abdullah menunjukkan perkembangan positif selepas menerima rawatan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama dua bulan.

Malah, pelantun lagu ‘Stanza Sepi Sekeping Hati’ itu masih menunjukkan minatnya terhadap bidang nyanyian apabila beliau sering bercerita tentang muzik ketika berada di hospital.

IKLAN

“Ben sudah semakin sihat sekarang, cuma kini beliau ditempatkan sementara di sebuah rumah khas dalam pengawasan doktor dari segi fizikal dan mentalnya,” katanya.

Sebelum ini, keadaan Ben menjadi bualan ramai apabila video memaparkan dirinya dalam keadaan tidak terurus menjadi tular pada Januari lalu.

Penyanyi itu dikatakan sering kelihatan merayau di beberapa kawasan sekitar ibu kota namun hasil usaha YA1M dan beberapa pihak termasuk keluarganya sendiri, Ben dibawa ke HKL bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan.

IKLAN

Menurut DJ Dave, apabila video itu tular di media sosial, pihaknya cuba sedaya upaya untuk berjumpa dengan Ben bagi menghulurkan bantuan.

“Ketika kami berjumpa, keadaan Ben sangat kusut-masai dan tidak terurus. Agak lama juga kami memujuk beliau supaya potong rambut dan misai dan akhirnya beliau bersetuju untuk berbuat demikian setelah kami berjanji untuk membantu beliau,” katanya.

DJ Dave turut melahirkan rasa terharu apabila Ben menyampaikan hasratnya untuk kembali menyanyi serta mahu merakamkan ‘Single’nya di Jakarta.

“Sudah lebih 10 tahun Ben menyepi dari industri seni tanah air dan saya sangat gembira dengan perkembangan positif beliau yang mahu memegang kembali mikrofon… Beliau juga turut berhasrat untuk menunaikan umrah,” katanya. – Bernama

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI