
Mahkamah Tinggi Seoul semalam mengekalkan hukuman penjara tiga tahun enam bulan terhadap bekas anggota kumpulan popular Korea Selatan, NCT, iaitu Moon Tae-il atau lebih dikenali sebagai Taeil, selepas gagal dalam rayuannya berhubung kes serangan seksual yang melibatkan seorang wanita warga asing.
Menurut laporan, keputusan itu sekaligus mengekalkan sabitan asal terhadap penyanyi berusia 30 tahun itu atas kesalahan aggravated quasi-rape, selepas mahkamah mendapati beliau dan dua individu lain melakukan perbuatan keji itu terhadap mangsa yang berada dalam keadaan mabuk dan tidak sedarkan diri.
Taeil sebelum ini digugurkan daripada kumpulan NCT serta menamatkan kontrak bersama syarikat pengurusannya, SM Entertainment, pada Oktober tahun lalu. Keputusan tersebut dibuat selepas beliau disiasat pihak berkuasa susulan dakwaan terlibat dalam jenayah seksual.
SM Entertainment ketika itu dalam kenyataan rasmi memaklumkan, keputusan diambil bagi menjaga reputasi syarikat serta memberi ruang kepada siasatan berjalan tanpa campur tangan pihak pengurusan.
Selain hukuman penjara, mahkamah turut mengarahkan Taeil mengikuti program pemulihan khas untuk pesalah seksual serta dilarang bekerja dalam sektor yang melibatkan kanak-kanak dan remaja selama lima tahun selepas tamat tempoh hukuman.
Hakim turut menegaskan bahawa tindakan tertuduh dan rakan-rakannya jelas melanggar undang-undang serta memperlihatkan sikap tidak bertanggungjawab terhadap mangsa, justeru tiada alasan munasabah untuk meringankan hukuman.
Imbas kembali, Taeil yang pernah menjadi tunjang vokal utama dalam kumpulan NCT sebelum ini mula dikenali sejak debut pada 2016 dan aktif dalam sub-unit NCT 127 serta NCT U. Bagaimanapun, reputasi dan kerjaya muziknya kini musnah selepas disabitkan kesalahan jenayah berat itu.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!











