Mahkamah Tinggi Seoul semalam mengekalkan hukuman penjara tiga tahun enam bulan terhadap bekas anggota kumpulan popular Korea Selatan, NCT, iaitu Moon Tae-il atau lebih dikenali sebagai Taeil, selepas gagal dalam rayuannya berhubung kes serangan seksual yang melibatkan seorang wanita warga asing.
Menurut laporan, keputusan itu sekaligus mengekalkan sabitan asal terhadap penyanyi berusia 30 tahun itu atas kesalahan aggravated quasi-rape, selepas mahkamah mendapati beliau dan dua individu lain melakukan perbuatan keji itu terhadap mangsa yang berada dalam keadaan mabuk dan tidak sedarkan diri.
Taeil sebelum ini digugurkan daripada kumpulan NCT serta menamatkan kontrak bersama syarikat pengurusannya, SM Entertainment, pada Oktober tahun lalu. Keputusan tersebut dibuat selepas beliau disiasat pihak berkuasa susulan dakwaan terlibat dalam jenayah seksual.
Ads
SM Entertainment ketika itu dalam kenyataan rasmi memaklumkan, keputusan diambil bagi menjaga reputasi syarikat serta memberi ruang kepada siasatan berjalan tanpa campur tangan pihak pengurusan.
Selain hukuman penjara, mahkamah turut mengarahkan Taeil mengikuti program pemulihan khas untuk pesalah seksual serta dilarang bekerja dalam sektor yang melibatkan kanak-kanak dan remaja selama lima tahun selepas tamat tempoh hukuman.
Ads
Hakim turut menegaskan bahawa tindakan tertuduh dan rakan-rakannya jelas melanggar undang-undang serta memperlihatkan sikap tidak bertanggungjawab terhadap mangsa, justeru tiada alasan munasabah untuk meringankan hukuman.
Ads
Imbas kembali, Taeil yang pernah menjadi tunjang vokal utama dalam kumpulan NCT sebelum ini mula dikenali sejak debut pada 2016 dan aktif dalam sub-unit NCT 127 serta NCT U. Bagaimanapun, reputasi dan kerjaya muziknya kini musnah selepas disabitkan kesalahan jenayah berat itu.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Dunia hiburan Singapura dikejutkan dengan berita penyanyi dan penerbit muzik terkenal, Hong Junyang, 43, yang disahkan diisytiharkan bankrap oleh pihak berkuasa republik itu selepas gagal melunaskan hutang berkaitan perniagaan dalam sektor makanan dan minuman (F&B).
Menurut laporan , nama Hong disenaraikan dalam Government Gazette of Singapore bagi individu yang diisytiharkan muflis pada September 2025, sekali gus menandakan detik paling sukar dalam perjalanan karier bintang kelahiran program realiti Project Superstar itu.
Hong yang kini juga aktif sebagai penerbit muzik dan pemilik restoran, mengakui perkara tersebut dalam kenyataan kepada media tempatan sambil menyatakan bahawa beliau menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan bertekad untuk memperbaiki kesilapan lalu.
“Sejak Covid-19 bermula, ia sangat, sangat sukar untuk kami, sehingga penutupan kami… saya cuba yang terbaik,” katanya.
Difahamkan, Hong terlibat dalam beberapa projek perniagaan termasuk restoran The Original Boat Noodle serta beberapa usaha makanan lain yang mula beroperasi selepas pandemik.
Namun, tekanan ekonomi dan peningkatan kos operasi menyebabkan perniagaannya berdepan kerugian besar sehingga gagal membayar hutang yang ditanggung.
Walaupun enggan mendedahkan jumlah sebenar hutang tersebut, penyanyi yang juga suami kepada hos televisyen popular, Candyce Toh, itu mengakui tempoh sukar ini memberi kesedaran besar tentang nilai ketabahan dan tanggungjawab.
“Ini adalah pengalaman yang sukar dan menyakitkan. Tetapi saya rasa wajar saya menghadapinya dengan penuh tanggungjawab dan saya akan terus memilih untuk menghadapinya dengan penuh tanggungjawab.
“Saya juga mengambil masa ini untuk merenung, bergerak ke hadapan, menetapkan semula, belajar semula dan yang paling penting untuk membina semula segala-galanya untuk menjadi lebih kuat pada masa hadapan. Saya tidak melihat ini sebagai penamat,” ujarnya
Hong mula dikenali selepas muncul dalam rancangan Project Superstar pada 2005 dan sejak itu aktif dalam bidang nyanyian serta penerbitan muzik, selain pernah menulis lagu untuk artis-artis ternama di Singapura.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Powerbank ringan ni penyelamat bila phone tengah low — cepat cas, tak panas, senang dibawa ke mana saja. Harga pun mampu milik!
Selebriti versatil, Elly Mazlein mendedahkan hatinya terdetik untuk mula berhijab selepas terinspirasi melihat perjuangan dan pengorbanan ditunjukkan para sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan ke P@lestin.
Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi turut berharap semua pihak dapat mendoakan yang terbaik agar dirinya terus kekal istiqamah.
“Pertama sekali, saya mohon semua pihak untuk mendoakan yang terbaik buat saya. Sudah tentu saya ingin yang terbaik buat diri sendiri.
“Berkenaan imej berhijab ini, pada saya, tiada istilah mencuba. Kadang kala, jihad seseorang itu membuatkan kita insaf terutama sekali buat rakan-rakan kita yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF),” katanya kepada MH.
Elly berkata sedemikian ketika ditemui selepas berkahir konsert akhir Kilauan Emas 2025 yang berlangsung di Royal Theatre, Shah Alam pada Sabtu.
Dalam pada itu, pelakon filem Gerak Khas The Movie ini turut menyifatkan mereka yang menyertai misi GSF sebagai individu hebat dan berharap agar mereka dapat kembali ke tanah air dengan selamat.
“Perjuangan mereka sangat hebat dan harus menjadi ikutan kita semua. Terima kasih buat rakyat Malaysia dan seluruh dunia yang memilih untuk sentiasa bersama mereka.
“Saya harap kita sama-sama kuat dan sabar menanti apa yang bakal berlaku seterusnya. Kita doakan semoga mereka selamat sampai ke Tanah Air.
“Terima kasih kepada semua pejuang GSF diatas keberanian anda,” katanya sebak.
Sementara itu, Elly turut meluahkan rasa berang dengan tindakan segelintir pihak yang mengecam dan melontarkan komen-komen negatif buat para sukarelawan yang menyertai misi GSF.
“Di sini, saya juga ingin memohon hentikanlah kata-kata yang bukan-bukan. Usaha mereka cukup baik. Mengapa kita mesti mematahkan semangat atau mengeluarkan kata-kata yang tidak cerdik.
“Tak perlulah nak persoalkan itu dan ini. Daripada kita mempersoalkan, lebih baik doakan untuk mereka yang berjuang. Tak semua orang mampu buat apa yang mereka lakukan.
“Mereka sangat berani dan sanggup berjuang lebih-lebih lagi demi anak-anak kecil di Palestin. Walaupun agak sudah nak menembusi sekatan namun, mereka tetap mencuba.
“Kalau kita terus cakap susah, apapun tak akan jadi. Namun, mereka tetap berusaha yang terbaik,” ujarnya lagi.
Ditanya mengenai reaksi suaminya, Mohamad Azlan Che Nuh bila dia memutuskan untuk berhijab, Elly memaklum suaminya itu turut tumpang gembira dengan hasrat murninya itu.
“Sudah pasti suami menjadi tempat pertama saya maklumkan mengenai hasrat ini. Dia cium dahi saya sebagai tanda bahagia dengan keputusan saya.
“Terima kasih papa,” akhirinya.
Terdahulu, penampilan Elly yang dilihat manis berhijab di Konsert Akhir Kilauan Emas 2025 nyata menarik perhatian ramai pihak.
Malah, Elly juga tidak dapat menahan sebak sewaktu membawakan lagu ‘Tuhan Jagakan Dia Untukku’ yang ditujukan khas buat para sukarelawan GSF yang kini dalam persiapan pulang ke Tanah Air selepas ditahan tentera Israel.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Selain kategori Filem Terbaik, dua anugerah yang paling dinantikan setiap kali penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) ialah Pelakon Lelaki dan Pelakon Wanita Terbaik.
Dua kategori ini sering menjadi tumpuan bukan hanya dalam kalangan penggiat industri, tetapi juga peminat yang mengikuti rapat perkembangan dunia perfileman tempatan.
Malah ia dianggap simbol tertinggi dalam dunia lakonan Malaysia iaitu satu pengiktirafan terhadap usaha, pengorbanan dan evolusi seorang pelakon dalam memberi makna kepada watak di layar perak.
Pasa edisi FFM ke-34, kategori ini dilihat antara yang paling sengit dalam sejarah mutakhir penganjuran.
Barisan calon datang daripada pelbagai latar filem iaitu daripada aksi berskala besar hingga ke drama psikologi dan kisah kekeluargaan yang sarat emosi.
Bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik, lima calon utama ialah Sharnaaz Ahmad (Blood Brothers: Bara Naga), Beto Kusyairy (Reversi), Qi Razali (Babah), Aeril Zafrel (Laknat) dan Tony Eusoff (Mencari Ramlee).
Setiap calon menampilkan gaya dan kekuatan berbeza, menggambarkan keluasan spektrum lakonan tanah air.
Sharnaaz Ahmad kini berada di kemuncak momentum hasil kejayaan besar Blood Brothers: Bara Naga, filem aksi-drama pecah panggung dengan kutipan lebih RM76 juta.
Watak yang menuntut kekuatan fizikal dan kedalaman emosi itu menjadi bukti ketekunan Sharnaaz dalam memberikan persembahan penuh intensiti.
Namun, Beto Kusyairy dilihat sebagai pencabar paling kuat dengan lakonan mendalam dalam Reversi.
Kritikus filem menyifatkan lakonannya sebagai ‘tenang di luar, bergolak di dalam’, membuktikan keberaniannya bereksperimen dan keluar dari zon selesa.
Sementara itu, Qi Razali tampil menyentuh perasaan menerusi Babah, membawakan watak seorang ayah yang kehilangan pendengaran dengan penuh kejujuran.
Lakonannya yang sederhana namun sarat emosi menjadikannya antara persembahan paling berkesan.
Dalam masa sama, Aeril Zafrel dan Tony Eusoff turut menyerlah menerusi Aeril dengan sisi gelap dan intens dalam Laknat, manakala Tony pula menawan hati dengan karisma sebagai peniru gaya Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee dalam Mencari Ramlee.
Dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik pula, lima calon yang bersaing ialah Nabila Huda (Telaga Suriram), Datin Sofia Jane (Mencari Ramlee), Sweet Qismina (Babah), Khatijah Tan (Jangan Pandang Belakang, Aku Tahu Asal Usul Mu) dan Maya Karin (Telaga Suriram).
Setiap satu menghadirkan aura tersendiri dengan keunikan gaya lakonan masing-masing.
Nabila Huda sekali lagi membuktikan kelas tersendiri apabila tampil tanpa dialog dalam Telaga Suriram, sebuah naskhah yang menuntut keintiman emosi dan ekspresi tubuh yang kompleks.
Lakonannya matang, penuh rasa menerusi gabungan ketakutan, dendam dan kelembutan yang sukar dijangka.
Datin Sofia Jane pula mempersembahkan watak sarat simbolik dan bernuansa dalam Mencari Ramlee, menjelmakan keanggunan dan pesona klasik yang mengimbau nostalgia sinema lama.
Sweet Qismina, meskipun muda, berjaya menyentuh hati penonton dengan persembahan tulus dan penuh kasih dalam Babah.
Lakonannya tidak berlebihan, malah sangat seimbang dalam menghidupkan hubungan bapa dan anak yang menyayat jiwa.
Dalam masa sama, Khatijah Tan menampilkan kekuatan karakternya sebagai pelakon berpengalaman, sementara Maya Karin kekal versatil dengan gaya lakonan dramatik dan bersahaja yang menjadi identiti tersendiri.
Secara keseluruhan, kategori Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik FFM34 membuktikan bahawa mutu lakonan Malaysia kini berada di tahap membanggakan.
Sama ada juri mahu menonjolkan keberanian artistik seperti Beto Kusyairy dan Sofia Jane, atau menekankan penghayatan emosi seperti Sharnaaz Ahmad dan Nabila Huda, tahun ini menyaksikan pertandingan yang benar-benar sengit.
Festival Filem Malaysia ke-34 bakal berlangsung pada 1 November di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri, dan disiarkan secara langsung di TV2, dengan Datuk Afdlin Shauki dan Che Puan Sarimah Ibrahim sebagai hos utama.
Tahun ini, kategori Filem Terbaik menawarkan Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1 juta, sementara kategori lakonan kekal sebagai lambang tertinggi kecemerlangan individu dalam seni lakon tempatan.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
Dengan undian lebih 120 juta, penyanyi Ernie Zakri dinobatkan sebagai bintang paling popular pada malam kemuncak Anugerqh Bintang Paling Popular ke-37 (ABP37) yang berlangsung di Primiera Hotel, Kuala Lumpur pada Jumaat.