
Usahawan selebriti, Datuk Azril Mohd Radzi mahu mengikut jejak langkah rakan seperjuangan, Datuk Aliff Syukri dan Datuk Seri Vida yang kini aktif dalam dunia hiburan.
Menurut Azril, 40, dia mengakui dirinya seorang introvert dan lebih selesa berada dalam dunia perniagaan jika diberi peluang.
Namun begitu, dia tekad untuk keluar dari zon selesa dan mencabar diri dalam bidang baharu, khususnya di kaca televisyen.
“Sebenarnya, dulu saya pernah terlibat dalam dunia peragaan dan pengacaraan. Sekarang perniagaan dah okey dan stabil, rasa macam nak fokus semula pada minat yang sudah lama terpendam.
“Seiring dengan peredaran zaman. Saya rasa sekarang ini peluang yang ada untuk ceburkan diri dalam industrI,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Shah Alam, pada Khamis.
Tambah pengasas produk jamu jenama V’Asia itu lagi, penglibatan rakan usahawan lain dalam dunia hiburan sebagai platform promosi diri, secara tidak langsung telah memberi inspirasi kepadanya untuk kembali aktif.
“Sebenarnya, saya merupakan individu yang lama berniaga dan selalu keluar TV saja (offline). Jadi saya nak buat kemunculan untuk terlibat dalam bidang ini.
“Supaya dapat tangkap audiens baharu. Tapi saya akui benda ini sangat mencabar sebab saya ‘orang offline’, hampir 20 tahun tapi kurang dikenali. Saya dah bersedia nak menonjol selepas ini,” katanya.
Dalam masa sama, Azril memaklumkan dia hanya mahu memberi tumpuan kepada dua cabang utama dalam industri seni iaitu nyanyian dan pengacaraan.
“Bidang modeling tak boleh sebab saya dah tua. Tapi ada sahaja job modeling yang saya buat sebelum ini.
Mungkin saya lebih minat dalam bidang pengacaraan,” katanya yang tidak menafikan dunia hiburan sarat dengan kritikan dan bersedia menghadapinya.
“Saya pernah dapat kecaman sebelum ini tapi saya rasa waktu itu belum bersedia dan tak biasa.
Saya percaya selepas ini kalau dah serius dalam bidang hiburan, semua kecaman adalah perkara yang kita kena hadap dan terima,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Azril juga sinonim dengan kerja amal dan kebajikan menerusi Yayasan V’Asia yang ditubuhkan sejak empat tahun lalu.
Bagi Azril dia percaya, setiap rezeki yang diperoleh turut mengandungi hak orang lain, justeru komited untuk memberi kembali kepada masyarakat.
Antara usaha yang dilakukan termasuk membantu anak-anak tahfiz, ibu dan bapa tunggal serta golongan asnaf.
“Saya percaya setiap rezeki kita ada juga rezeki orang lain. Memang nak bagi balik kepada masyarakat. Kita banyak terlibat menerusi bantuan kepada anak-anak tahfiz, ibu tunggal atau bapa tunggal dan golongan asnaf.
“Kita ada juga bangunkan rumah-rumah ibadah cuma tidaklah terlalu diwar-warkan. Segan nak berkongsi lanjut, tapi kalau ditanya kami ada usaha bangunkan madrasah di Myanmar dan masjid di Pakistan.
“Kita cuba bina di penempatan yang ramai komuniti penduduk Muslim, tapi kurang masjid atau madrasah. Kalau ada jalan yang boleh sama-sama bantu sesama kita mengapa tidak? Insya-Allah,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini