Berita

Azeva Rasa Belum Layak Sertai Dolla, A. Aida Optimis Anak Mampu Berdiri Di Atas Bakat Sendiri – “Mereka Hebat, Saya Hormat…”

Share

Mempunyi personaliti yang menarik dan lincah di atas pentas membuatkan ada segelintir netizen yang merasakan penyanyi dan pelakon, Azeva Natassha sebagai antara bintang yang layak untuk menganggotai kumpulan wanita popular, Dolla.

Bagaimanapun, Azeva merasakan penghargaan tersebut terlalu besar buat dirinya yang baru sahaja memulakan kerjaya sebagai penyanyi menerusi program Talk To My Manager musim ke-2 (TTMM2).

Katanya lagi, dia amat mengagumi bakat serta tahap profesionalisme yang dipamerkan Dolla, terutama dari segi persembahan dan tarian.

“Saya rasa diri ini tak layak pun nak sertai kumpulan Dolla. Mereka sangat kreatif. Pergerakan tarian mereka pula lancar seperti angin dan air.

“Saya pula macam kayu. Tarian zombi itulah yang terbaik saya boleh buat. Jadi, macam mana saya nak masuk kumpulan mereka.

“Mereka sangat hebat dan saya hormat hasil seni mereka,” katanya kepada MH.

Azeva berkata sedemikian ketika ditemui selepas tamat konsert suku akhir TTMM2, baru-baru ini.

A Aida Sudah Ada Perancangan Buat Azeva

Sementara itu, penerbit terkenal yang juga ibu kepada Azeva, Dato A. Aida memaklumkan sudah mempunyai perancangan buat kerjaya seni anak keduanya itu.

Malah dia juga percaya Azeva mampu berdiri dengan bakatnya sendiri.

“Untuk masuk ke mana-mana kumpulan, itu bukanlah untuk anak saya. Pada saya, dia sudah ada pakej yang lengkap.

“Rasanya biarlah dia berdiri atas kaki sendiri dulu. Saya juga akan keluarkan single buat Azeva pula selepas ini,” kongsinya.

Mengulas mengenai kebangkitan dalam saingan minggu suku akhir TTMM2, Ahad lalu, Azeva memaklumkan situasinya yang hampir tersingkir nyata menyuntik motivasi untuk memberikan yang terbaik.

“Saya rasa hidup kita ini ada naik dan turunnya. Apabila saya berada di bawah, ia secara tidak langsung memberikan saya motivasi untuk berusaha dengan lebih kuat.

“Peluang untuk saya tunjuk dan serlahkan bakat tidak akan datang banyak kali. Saya ambil perkara ini secara positif.

“Yang penting saya kena pujuk ibu saya dan berjanji akan buat lebih baik. Perkara yang tak boleh saya buat adalah kecewakan ibu saya,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf