
Anak kepada penerbit terkenal, Datuk A. Aida iaitu Azeva Natassha menjelaskan sebab dia tidak mahu meletakkan harapan tinggi dalam program realiti yang disertainya, Talk To My Manager 2 (TTMM2).
Azeva atau nama penuhnya Wan Azeva Natassha Wan Aminuddin menjelaskan, memadai sekiranya dia diberi rezeki untuk bersaing hingga ke peringkat final.
Ini kerana dia merasakan rakan-rakan lain mungkin lebih memerlukan kemenangan tersebut berbanding dirinya.
“Saya nak kawan-kawan saya dapat top three, saya dapat nombor lima pun okay asalkan dapat pergi final saja.
“Sebab saya tahu mereka lebih memerlukan (kemenangan) itu berbanding saya. Saya akan gembira jika jadi (bergelar) juara, tapi saya tahu kawan-kawan lagi memerlukan.
“Jadi kalau boleh, saya nak kawan-kawanlah yang menjadi juara. Saya dapat masuk final pun dah okay. Alhamdulillah, bersyukur,” katanya.
Perkongsian tersebut dibuat Azeeva ketika melakukan sesi siaran langsung di TikTok baru-baru ini, sebelum sedutan tersebut disunting kembali warganet ke media sosial.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata warganet meluahkan sokongan serta kata-kata positif terhadap keperibadian pelakon telefilem Boss, Nak Cuti
ini.Malah, ada juga yang memuji sikap toleransi dan keprihatinannya yang memahami situasi rakan-rakan lain yang saling bersaing dalam program realiti popular tersebut.
Ini antara komen yang tertera;
“Mulianya hati kau dik, semoga sentiasa dalam lindungan Allah SWT.”
“Baik budak ni.”
“She has everything dan dia bersyukur. Pandai, kaya dan cantik.”
TTMM2 dikendalikan oleh pengacara legenda Aznil Nawawi, bersama barisan juri iaitu Datuk AC Mizal dan Sarimah Ibrahim.
Setiap pasangan ‘pengurus-artis’ dinilai secara keseluruhan dengan pecahan 60 peratus untuk pengurus dan 40 peratus untuk artis di bawah seliaan masing-masing.
Saksikan konsert TTMM setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam selain turut boleh distrim secara On Demand menerusi aplikasi Astro GO dan Sooka.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini