
Saingan minggu suku akhir Talk To My Manager musim ke-2 (TTMM2) malam tadi menyaksikan persaingan sengit daripada tujuh peserta bertanding apabila masing-masing tampil memukau menerusi tugasan bertemakan ‘Malam Ini Kuingin Jatuh Cinta.’
Bagaimanapun, hasrat penyanyi Ani Maiyuni dan anaknya, Viviana untuk melangkah ke minggu separuh akhir tidak kesampaian apabila diumumkan sebagai pasangan yang tersingkir.
Persembahan Viviana menerusi lagu medley Jai Ho dan Gangnam Style gagal menambat hati juri, sekali gus meraih markah terendah minggu ini.
Dua lagi pasangan yang turut berada dalam kelompok tiga terbawah ialah Datuk Seri Vida dan Cik B serta Safura dan Kim Khairii.
Sementara itu, gandingan Datuk A. Aida dan anaknya, Azeva menunjukkan kebangkitan luar biasa apabila berjaya merampas kembali kedudukan pertama selepas nyaris tersingkir, minggu lalu.
Pasangan ini turut dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Inspirasi Kasih Eskayvie, sekali gus membawa pulang hadiah mingguan berupa wang tunai RM2,000.
Dua lagi pasangan yang mengekori rapat kedudukan teratas ialah Jamilul Hayat dan Hussain serta Adira dan Anggrek.
Baca Artikel Lain;
Dalam pada itu, Jamilul Hayat turut mencipta sensasi apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Manager Paling Perform (MPP) buat tiga minggu berturut-turut.
TTMM2 dikendalikan oleh pengacara legenda Aznil Nawawi bersama barisan juri tetap, Sarimah Ibrahim dan AC Mizal.
Turut diundang sebagai juri jemputan minggu ini ialah penyanyi dan komposer Hael Husaini bersama Bella Astillah.
Setiap pasangan ‘pengurus-artis’ dinilai secara keseluruhan dengan pecahan markah sebanyak 60 peratus untuk pengurus dan 40 peratus untuk artis.
Saksikan Talk To My Manager 2 setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), yang bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA.
Program ini juga boleh distrim secara On Demand menerusi aplikasi Astro GO dan Sooka.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini