Balu kepada bekas anggota kumpulan nasyid In-Team, Suhaimi Saad iaitu Ina Naim memaklumkan Allahyarham suaminya itu meninggal dunia di sisi keluarga.

Ina atau nama sebenarnya Nordiana Mohd Naim menambah, arwah sudah mula alami batuk teruk sejak Ogos lalu.

Malah status kesihatan suaminya semakin merosot pada Oktober selepas mengalami cirit-birit sehingga susut berat badan sebanyak 20 kilogram.

“Arwah suami pergi dalam keadaan yang tenang dan mudah, di sisi saya serta semua anak-anak kami.

“Arwah tidak muntah hanya batuk teruk sejak bulan Ogos dan alami cirit birit. Arwah dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) sejak 10 November lalu.

“Sejak di Hospital Kota Tinggi lagi, arwah minta ditidurkan sebagai ikhtiar terakhirnya.

IKLAN

“Ketika hidup, arwah suami ada cakap hendak hidup sehingga usia 43 tahun, dan 12 Oktober lalu genap usianya 43 tahun,” katanya, lapor Harian Metro.

Ina berkata demikian ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik HSI Johor Bahru, malam tadi.

Suhaimi Saad, 43, disahkan meninggal dunia pada 7.40 malam tadi di Unit Rawatan Rapi (ICU), HSI akibat jangkitan kuman di paru-paru.

IKLAN

Menurut Ina, arwah hanya meninggalkan pesan meminta maaf kepada semua orang seperti yang dimuat naik di laman sosial TikTok miliknya sebelum ditidurkan.

Katanya, sebagai isteri arwah, pihaknya juga memanjatkan permohonan maaf bagi mewakili arwah suaminya.

“Saya mohon maaf jika suami saya tersilap kata atau ada menyinggung perasaan mana-mana pihak atau termakan, terminum atau terambil apa-apa, saya memohon maaf bagi pihak dia,” katanya.

IKLAN

Allahyarham Suhaimi berkahwin dengan Ina pada 12 Ogos 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, 15, Salman Elkhoyri, 13, Phyrosh Elfadwah, 11, dan Nur Layla Elghufrony, 9.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Suhaimi dimandi dan dikafankan di Jabatan Perubatan Forensik HSI sebelum dibawa pulang ke rumah keluarga Ina di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi.

Jenazah dijangka akan dikebumikan di sana kira-kira 9 pagi ini.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI