
Pelakon Rita Rudaini tampil menjelaskan mengenai respons anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin yang mencuri perhatian selepas membalas komen seorang individu yang mengaitkan kejayaan diraih dengan bapanya, pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Razak.
Rita berpendapat, apa yang dibalas Rayyan merupakan luahan jujur yang lahir daripada hatinya sendiri.
“Memang agak lawak juga bila baca komen daripada Rayyan itu. Sebenarnya, pengalaman hidup saya ketika kecil juga sama seperti mereka.
“Apa yang mereka rasa, saya juga pernah merasainya. Rayyan dan adiknya ini, mereka cuma ada saya daripada kecil sehinggalah sekarang,” katanya menerusi temu bual bersama HLive.
Pelakon filem Mami Jarum Junior itu turut menambah bahawa anak-anaknya kini sudah dewasa dan mempunyai pandangan tersendiri terhadap setiap perkara.
“Bila mereka sudah besar dan netizen asyik sebut-sebut mengenai isu ini, mereka sudah boleh membaca dan membalas.
“Apa yang mereka jawab itu, kena terima,” ujarnya.
Dalam masa sama, Rita menafikan dakwaan kononnya dia mengajar anak-anak berhubung perkara tersebut.
“Kalau nak kata saya yang mengajar, sudah-sudahlah. Daripada dahulu lagi, saya kena kecam dan dituduh mengajar anak.
“Kalau saya ini mengajar anak perkara-perkara yang tidak elok, mereka tidak akan jadi seperti sekarang.
“Apa yang mereka jawab, itu terpulang kepada mereka. Itu jawapan daripada hatinya,” kongsinya lagi.
Terdahulu, nama Rayyan menjadi perhatian susulan kejayaannya memecahkan rekod kebangsaan acara 110 meter lari berpagar di Kejohanan Olahraga MRSM Kebangsaan 2026 sehingga menerima pujian ramai.
Untuk rekod, Rita dan Aidil mendirikan rumah tangga pada 2008 sebelum bercerai lima tahun kemudian. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram HLive & Rita Rudaini