
Filem pendek bertajuk Anak Omputeh arahan pengarah muda, Darwish Syahmi, mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai pemenang Hadiah Utama BMW Shorties 2025, selain merangkul Anugerah Pelajar Terbaik Shorties pada edisi ke-19 program berprestij berkenaan.
Kejayaan tersebut menjadikan Darwish, pelajar dari Universiti Multimedia (MMU) Cyberjaya, sebagai pengarah pertama yang memenangi kedua-dua anugerah utama dalam tahun yang sama, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam landskap perfileman pelajar dan penciptaan kandungan digital di Malaysia.
Filem Anak Omputeh yang diinspirasikan daripada pengalaman peribadi pengarahnya mengisahkan perjalanan Lan, seorang anak muda Melayu yang kembali ke kampung halaman ayahnya selepas membesar di luar negara selama lima tahun.

Kepulangan itu mempertemukan Lan dengan pertembungan budaya dan cabaran untuk menyesuaikan diri dalam suasana tradisional yang terasa asing, sebelum akhirnya menemui makna persahabatan dan rasa kebersamaan.
Karya tersebut turut menyentuh pengalaman golongan Generasi Budaya Ketiga (Third Culture Kids) menerusi penceritaan yang jujur, ringan dan menyentuh emosi, sekali gus berjaya menawan hati penonton. Filem berkenaan juga dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pilihan Penonton selepas meraih undian tertinggi daripada orang ramai.
Pada usia 20 tahun, Darwish Syahmi telah membina asas kreatif yang kukuh melalui pengajiannya di Fakulti Seni Sinematik MMU Cyberjaya.
Antara karya terdahulunya termasuk Kapak (2023) yang dicalonkan di Mini Film Festival Sarawak, filem eksperimental FORYOU32GODSAVEOURCHILDREN (2023) yang dicalonkan di Taylor’s University Film Festival 2024, serta mini dokumentari Kintsugi (2024) yang memenangi tempat naib juara di Echo Film Fest: The Sequel.
Mengulas kemenangannya, Darwish menyifatkan pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang amat bermakna, selain mengakui karya itu lahir daripada pengalaman peribadi sebagai individu yang berdepan dengan isu penyesuaian semula budaya.

“Walaupun kami tidak bercakap dalam bahasa yang sama, kami masih boleh bersatu melalui bahasa universal iaitu kebaikan dan belas kasihan.
“Saya amat berterima kasih kepada barisan pelakon dan kru yang memberi kepercayaan kepada karya ini, dan kepada BMW Shorties kerana memberikan peluang kepada pencipta daripada kalangan pelajar untuk tampil di platform berprestij ini.
Memenangi kedua-dua Hadiah Utama dan Anugerah Pelajar Terbaik Shorties telah memberikan saya keyakinan untuk membawa minat ini lebih jauh lagi, dan saya teruja untuk terus menghasilkan karya yang jujur serta berakar pada pengalaman orang Malaysia,” ujarnya.
Sebagai pemenang Hadiah Utama, Darwish menerima geran produksi bernilai RM50,000 bagi merealisasikan projek seterusnya, selain sebuah telefon pintar OPPO Find X9 Pro sumbangan OPPO Malaysia.
Panel juri yang terdiri daripada tokoh industri perfileman tempatan dan antarabangsa memilih Anak Omputeh atas kekuatan penceritaan dan penerokaan identiti budaya yang disampaikan secara sensitif dan tulus. Antaranya termasuk Nadiah Hamzah, Saw Teong Hin, Zan Azlee serta pelakon veteran, Fatimah Abu Bakar.
Kejayaan Anak Omputeh turut mencerminkan tema BMW Shorties 2025, ‘New Dimensions’, yang menggalakkan peserta melangkaui penceritaan konvensional dan meneroka perspektif baharu secara berani, selari dengan komitmen berterusan BMW Group Malaysia dalam memupuk bakat kreatif tempatan.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi TikTok, Instagram, Facebook & Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




