
Amyza Aznan
Pelakon Amyza Aznan mengakui tersentuh melihat semangat yang ditunjukkan anaknya, Adrian Adam ketika membuat persembahan menerusi segmen khas program Talk To My Manager (TTMM2), Ahad lalu.
Menurut Amyza, Adrian sebenarnya sudah lama menyimpan impian untuk membuat persembahan bersama abangnya, Allahyarham Andre Mikhail di pentas TTMM2.
“Ketika melihat persembahan Adrian, perasaan saya jadi bercampur baur. Sebenarnya kalau dia masuk ke program TTMM2, dia berhasrat nak berduet bersama abangnya.
“Sebelum naik ke pentas, Adrian sempat bagitahu kami, janganlah terlalu sedih bila dia menyanyi nanti. Bila Adrian naik ke pentas, saya tahu dia bawa semangat dan impian untuk bersama abangnya.
“Itulah yang membuatkan dirinya kuat dan dapat menampilkan persembahan yang terbaik,” katanya kepada MH.
Amyza berkata sedemikian ketika ditemui selepas tamat konsert minggu keempat TTMM2, baru-baru ini.
Berkongsi mengenai keadaan anaknya itu, Amyza memaklumkan Adrian seorang yang berdikari dan tidak suka menyusahkan orang lain.
“Menguruskan Adrian tidak susah. Dia sebolehnya mahu menguruskan segalanya sendiri. Sakit pun tak nak bagitahu. Sedar-sedar sahaja kita lihat dia menangis.
“Bila kita tanya kenapa, barulah dia bagitahu dia rasa sakit. Dia tak nak menyusahkan kita. Sejak daripada arwah Andre lagi, mereka memang begitu.
“Ketika ini, saya masih bekerja seperti biasa tetapi tidak mengambil tawaran berlakon. Saya berhenti sekejap kerana Adrian baru memulakan rawatan. Kita nak pantau keadaannya dahulu,” ujarnya.
Baca Artikel Lain;
Dalam masa sama, Amyza turut memaklumkan Adrian kini perlu menggunakan kerusi roda bagi mengurangkan pergerakannya.
“Pada mulanya dia tak nak guna kerusi roda. Dia nak hidup berdikari dan buat semua benda sendiri. Dia tak nak bergantung pada kerusi roda. Namun, saya bagitahu dia yang kita nak kurangkan pergerakan.
“Kita takut bengkaknya itu akan jadi lebih teruk. Kalau dia nak berjalan, boleh sahaja. Kalau kita nak bawa dia jalan-jalan dan menenangkan diri, takkan nak biarkan dia berjalan sahaja.
“Selagi Adrian guna kerusi roda ini, selagi itulah pahala akan mengalir kepada mereka yang menyumbang. Terima kasih banyak,” kongsinya lagi.
Sementara itu, Amyza turut berkongsi rutin hariannya yang sering menziarahi pusara arwah Andre sebagai cara untuk mencari ketenangan.
“Itulah cara saya untuk healing. Bila ziarah pusara arwah Andre, ia memberikan ketenangan dan kepuasan. Saya akan sedekahkan Al-Fatihah dan tahlil ringkas.
“Sekejap pun tak mengapa. Asalkan saya dapat pergi setiap hari. Kalau tak dapat datang pun disebabkan urusan kerja.
“Ketika hujan lebat pun saya akan pergi. Kecuali ada ribut petir,” kongsinya lagi.
Terdahulu, Andre menghembuskan nafas terakhir pada 24 Februari lalu selepas setahun melawan penyakit kanser paru-paru.
Sementara itu, Adrian pula disahkan menghidap kanser dan kini sedang menjalani rawatan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini