
Ammar
Penyanyi muda, Ammar Haikal, kini melangkah setapak lagi dalam perjalanan seninya sejurus menyertai Talk To My Manager musim pertama (TTMM1) apabila tampil memperkenalkan single sulung berjudul Gila Bayang.
Pelancaran lagu bersama muzik video lagu berkenaan sekali gus menandakan kemunculan rasminya dalam industri muzik tanah air.
Menurut Ammar atau Ammar Haikal Wan Aminuddin, 19, ‘Gila Bayang’ mengetengahkan kisah cinta tidak kesampaian serta perjuangan seseorang untuk melupakan kenangan dan bayangan insan yang pernah bertakhta di hati.
Jelasnya lagi, lagu berentak pop moden itu juga membawa pendengar menyelami perasaan individu yang menyimpan harapan besar untuk membina masa depan bersama insan tersayang.
Namun, akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa dirinya bukanlah pilihan utama dari insan yang disayangi.
Dalam pada itu, Ammar turut meluahkan rasa teruja dengan pelancaran karya sulungnya itu, selain optimis mengharapkan agar lagu berkenaan mendapat tempat di hati peminat dan pendengar.
“Saya sangat teruja dengan pelancaran single pertama ini dan semoga para peminat dan pendengar dapat boleh menerima ‘Gila Bayang’ dengan baik, Insya-Allah.
“Terima kasih atas segala sokongan yang diberikan dan saya harap semua dapat terus mendengar serta menstrim lagu ini.
“Jujurnya juga, pada sesi pelancaran inilah baru pertama kali saya dapat dengarnya secara penuh bersama muzik videonya sekali kerana pihak pengurusan mahukan elemen kejutan itu.
“Jadi saya pun turut sama teruja dan tak sangka hasil untuk lagu ‘Bila Bayang’ boleh jadi sebagus ini. Sebab ini adalah single yang pertama. Syukur ingatkan bila ada single yang kedua baru ‘boom’ hasilnya.
“Apa pun, terima kasih kepada pihak XO House dan komposer lagu ini. Malah saya bersyukur sebab teaser single ini meletup di media sosial,”katanya.
Selain kekuatan melodi lagu, muzik video Gila Bayang” turut jadi sorotan ramai apabila menampilkan bapa kandungnya sendiri, Ameng Spring, selain penyanyi dan personaliti media sosial Alyssa Dezek yang memegang watak heroin.
Baca Artikel Lain;
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas XO House, Adib Hamdi, meluahkan rasa bangga terhadap perkembangan Ammar yang sebelum ini muncul sebagai juara program pencarian bakat, XO CAMP! Musim Pertama.
“Saya gembira dan berbangga melihat perjalanan Ammar. Ini merupakan antara matlamat utama kami di XO House, iaitu melahirkan generasi baharu bakat tempatan dan memberi peluang kepada mereka untuk membina kerjaya dalam industri muzik.
“Ammar saya lihat sebagai sebahagian daripada legasi generasi baharu XO House, dan kami berharap ‘Gila Bayang’ menjadi permulaan yang baik untuk perjalanan seninya,” ujarnya.
‘Gila Bayang’ merupakan hasil ciptaan bersama komposer dan penulis lirik versatil, Naim Daniel, Adib Hamdi dan Amir Firdaus, manakala Adib Hamdi turut bertindak sebagai penerbit lagu tersebut.
Sehingga kini, muzik video lagu tersebut sudah pun menerima lebih 250,000 tontonan di YouTube selepas kurang seminggu ia dimuat naik.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
@mediahiburanofficial Jalan terus Ammar Haikal! 😍 Lancar single sulung ‘Gila Bayang’. Catchy, suka Min dengar 🎧 #MHnews #MediaHiburan #FYP ♬ original sound – Media Hiburan