Berita

Amir Jahari Utamakan Karya Berbanding Relevansi, Bersyukur Pernah Menang AJL38 & Tak Berhasrat Bertanding Berkali-Kali

Share

Penyanyi dan komposer, Amir Jahari mendedahkan dia tidak pernah meletakkan sasaran untuk bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), meskipun pernah muncul sebagai juara menerusi lagu ciptaannya sendiri, Hasrat.

Menurut Amir, kejayaan yang diraih pada malam kemuncak AJL38 berlaku tanpa dirancang, malah penyertaan lagu tersebut ke Muzik-Muzik juga bukan atas kehendak peribadinya.

“AJL bukanlah platform utama buat saya. Penyertaan saya sebelum ini juga berlaku atas izin Allah apabila pihak Luncai Emas sendiri yang menghantar lagu tersebut ke Muzik-Muzik.

“Itu berlaku tanpa pengetahuan pihak pengurusan kami. Namun begitu, saya tetap bersyukur dengan apa yang berlaku.

“Jika mengikut perancangan peribadi saya, saya sendiri tidak akan menghantar lagu tersebut untuk bertanding,” katanya kepada MH.

Penyanyi lagu Ingin Pulang itu berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Nastia Project: Soul Journey yang berlangsung di St. Giles Boulevard Hotel, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Fokus Hasilkan Album Keempat

Walaupun tidak menolak kemungkinan untuk kembali bertanding pada masa akan datang, Amir menjelaskan fokus utamanya ketika ini adalah menghasilkan karya baharu bersama pasukannya.

“Bagi masa akan akan datang, saya masih belum pasti. Untuk sekarang, pengurusan saya telah bertukar dan isteri saya menguruskan sepenuhnya.

“Kami juga telah membentuk satu pasukan kerja besar. Tak adalah besar sangat tetapi saya ada ‘workable team’ yang sedang membuat persiapan untuk album keempat, insya-Allah,” jelasnya lagi.

Tak Kejar Relevansi Melalui Pertandingan

Dalam masa sama, Amir mengakui dia tidak mahu terlalu kerap menyertai pertandingan semata-mata untuk kekal relevan dalam industri hiburan.

“Secara peribadi, saya merasakan pengalaman di AJL sebelum ini sudah memadai untuk saya rasai sekali sahaja. Saya tidak berhasrat untuk tampil berulang kali.

“Mungkin ada pihak beranggapan penyertaan berulang kali penting untuk mengekalkan soal relevan, namun itu lebih sesuai bagi mereka yang memberi fokus kepada industri hiburan.

“Bagi saya, keutamaan adalah terhadap penghasilan karya seni, bukan semata-mata hiburan,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Amir pernah dinobatkan sebagai juara menerusi lagu ciptaannya sendiri, Hasrat, pada Anugerah Juara Lagu ke-38 yang berlangsung pada 3 Mac 2024.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Nurdini Rosliza