
Dalam era digital hari ini, pengaruh selebriti dan pempengaruh bukan lagi sekadar tertumpu kepada dunia hiburan semata-mata.
Sebaliknya, kehadiran mereka kini semakin meluas termasuk dalam aktiviti lasak dan sukan ekstrem yang sering menjadi perhatian ramai di media sosial.
Melalui kandungan kreatif dan gaya penyampaian tersendiri, golongan influencer berjaya menarik minat jutaan pengikut untuk meneroka pengalaman baharu, sekali gus memberi impak besar terhadap trend pelancongan dan gaya hidup moden.
Atas faktor itu, platform berprestij seperti All Star Influencers Award (ASIA) 2026 dilihat memainkan peranan penting dalam menghimpunkan pencipta kandungan dari pelbagai negara, selain mengangkat industri digital ke tahap lebih tinggi menerusi pengiktirafan bertaraf antarabangsa.
Pihak penganjur All Star Influencers Award (ASIA) 2026 memberi jaminan bahawa tiada sebarang unsur pilih kasih dalam pemilihan pemenang, sama ada melibatkan pempengaruh tempatan mahupun antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif ASIA, Abd Rahman Soltan berkata, setiap peserta akan dinilai secara menyeluruh berdasarkan usaha serta kualiti kandungan yang dipersembahkan sepanjang tempoh pertandingan berlangsung.
“Sebagai penganjur, saya mahu pemenang diadili secara baik dan terperinci. Saya nak berlaku adil kepada semua influencer yang bertanding. Saya anggap para influencers ini seperti anak saya sendiri.
“Saya tak nak ada sebarang unsur pilih kasih. Tak kisahlah jumlah pengikutnya 60 juta atau 100,000. Sesiapa sahaja yang berusaha, orang itulah yang kena menang.
“Saya juga tidak mahu ada pilih kasih diantara influencer tempatan dan luar negara. Kesian para peserta nanti.
“Ada diantara mereka yang terpaksa menempuh perjalanan berbelas jam, jika tidak dipilih secara telus, itu sangat tidak adil,” katanya kepada MH.
Dalam pada itu, Abd Rahman turut menjelaskan bahawa ASIA 2026 menggunakan dua kumpulan juri berbeza bagi memastikan proses penilaian lebih seimbang dan relevan dengan trend semasa dunia digital.
“Kami ada dua kumpulan juri. Kumpulan pertama adalah ‘old school jury’. Mereka ini adalah individu yang berpengalaman dalam bidang perfileman, nyanyian dan muzik.
“Kumpulan kedua pula adalah daripada golongan muda yang berpengalaman dalam dunia Tik Tok. Seramai 10 orang telah dipilih dan mereka akan menilai konten-konten yang dipertandingkan.
“Mereka ini lebih tahu trend semasa dan apa yang netizen mahukan. Mungkin ‘old school jury’ merasakan sesuatu konten itu tidak sesuai tapi juri-juri muda ini ada pandangan berbeza.
“Jadi, kita gabungkan dua kumpulan juri ini agar pemenang dapat dipilih secara adil,” ujarnya lagi.
Menurutnya lagi, penganjuran kali ini membawa misi lebih besar dalam memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pelancongan dan industri kreatif digital di rantau Asia menerusi All Star Influencer Award (ASIA).
“ASIA2026 hadir dengan visi yang jauh lebih besar dan lebih menyeluruh. Kami mahu menjadikan platform ini sebagai jambatan yang menghubungkan dunia digital dengan sektor pelancongan secara lebih efektif dan berimpak tinggi.
“Pengaruh media sosial hari ini memainkan peranan sangat besar dalam menentukan trend pelancongan global.
“Apa yang dipaparkan oleh pencipta kandungan mampu memberi inspirasi kepada jutaan orang untuk mengenali sesebuah negara, budaya dan destinasi baharu.
“Atas sebab itu, kami menghimpunkan lebih 100 pempengaruh dari pelbagai negara bagi memastikan Malaysia menerima liputan organik yang meluas sepanjang program berlangsung,” katanya lagi.
Program tersebut turut dianjurkan dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia serta Tourism Malaysia selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.
Terdahulu, All Star Influencers Award kembali untuk edisi 2026 dengan skala lebih besar, berpengaruh dan bersifat antarabangsa apabila menghimpunkan lebih 100 pempengaruh dari lebih 20 negara dalam sebuah gerakan promosi pelancongan digital merentasi Malaysia selama tujuh bulan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini