
Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza sekali lagi membuktikan kedudukannya sebagai ikon seni tanah air dengan pelancaran album tradisional terbaharu berjudul Gema Bumantara.
Judul album ini membawa makna yang mendalam sebagai simbolik kepada suara warisan Melayu yang terus bergema, merentasi masa dan generasi.
Album ini mengangkat keindahan muzik tradisional Melayu yang digabungkan dengan elemen muzik kontemporari yang segar dan berjiwa.
Gema Bumantara juga menjadi kesinambungan kepada siri album tradisional terdahulu seperti Cindai, Sahmura, Sanggar Mustika dan Lentera Timur.
Menurut Siti, Gema Bumantara adalah manifestasi cintanya terhadap muzik tradisional serta tanda tanggungjawab untuk memperkasa irama warisan bangsa agar tidak dilupakan oleh generasi baharu.
“Album tradisional sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati saya.
“Semoga Gema Bumantara menjadi hadiah buat semua pencinta muzik warisan dan terus mengalunkan keindahan irama Melayu kepada seluruh dunia.
“Saya juga menjadikan ini sebagai salah satu tanggungjawab saya dalam bidang seni,” ujar Siti.



Irama Melayu Terus Hidup
Dalam masa sama, Siti turut menzahirkan penghargaan kepada para pencipta lagu tradisional yang menyumbangkan karya sejak awal tahun ini.
Lebih membanggakan, album ini mendapat sokongan Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Venturesmenerusi Dana Kebolehanpasaran (Domestik) 2.0, bagi memperkukuh usaha pemerkasaan karya seni tempatan dan memastikan muzik tradisional terus relevan di arus perdana.
Album Gema Bumantara menampilkan 10 buah lagu baharu hasil gabungan komposer dan penulis lirik ternama seperti Firdaus Rahmat, Iqie Hugh, Usop Kopratasa, Hafiz Hamidun, Aubrey Suwito, Omar K, Shazriq Azeman, Aiman Sidek, Wan Saleh, Affan Mazlan, Danish Norr dan Aisha Retno.
Turut sama terlibat ialah RADi, Melly Goeslaw, Amni Musrifah, Irena Taib, Jamilah Abu Bakar, Ahmad Fedtri Yahya, Datuk Habsah Hassan, dan Dato’ Sri Siti Nurhaliza sendiri.
Antara lagu yang menghiasi album ini termasuk Kumbang Bunga (duet bersama Lesti), Hati Yang Rindu, Rencong, Pesanan Buat Diri, Kaca dan Permata (duet bersama Umairah), Syurgaloka, Hujung Bumi, Kesuma, Jenjang Cintadan Cenderamaya.
Proses penghasilan album ini mengambil masa hampir setahun, melibatkan fasa pencarian lagu, penyusunan muzik, rakaman vokal dan produksi akhir yang dilakukan dengan penuh teliti serta sepenuh jiwa oleh seluruh pasukan produksi.
Album Gema Bumantara, terbitan bersama SN Legacy Sdn. Bhd., Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd.dan Universal Music Sdn. Bhd., kini boleh dinikmati di semua pelantar digital utama mulai 28 Oktober 2025.
Sementara versi fizikalnya pula dijangka dilancarkan pada Januari 2026, bersempena Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
@mediahiburanofficial Siti Nurhaliza belanja lagu ‘Rencong’, salah satu di antara 10 lagu yang terkandung dalam album terbaharunya, ‘Gema Bumantara’ #MHnews #MediaHiburan #FYP ♬ original sound – Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




