Categories: Berita Hiburan

“Aku Nak Kahwin,” – Andi Bernadee

Share

Penyanyi Andi Bernadee, kembali mencuri perhatian menerusi pelancaran single terbaharunya, Aku Nak Kahwin, sebuah lagu santai yang mengangkat realiti kehidupan ramai, khususnya mereka yang sedang menanti jodoh.

Lagu ini berkisarkan tentang seseorang yang sudah bersedia untuk berkahwin, namun masih menunggu jodoh agar dipermudah.

Menurut Andi, kekuatan lagu ini terletak pada mesejnya yang mudah difahami dan dekat dengan pengalaman ramai.

“Bagi saya lagu ini terasa sangat dekat dengan realiti ramai orang, terutamanya mereka yang sudah lama single dan bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan.

“Ia juga membawa mesej yang jujur dengan lirik yang straightforward, menjadikannya mudah untuk pendengar kaitkan dengan pengalaman sendiri,” jelasnya.

Dalam landskap muzik semasa yang banyak dipenuhi lagu bertemakan kekecewaan cinta, Andi turut melihat single ini sebagai satu kelainan.

“Saya rasa kita agak kurang lagu dengan tema sebegini. Kebanyakan lagu di carta sekarang lebih kepada kisah putus cinta atau kecurangan.

Jadi, ‘Aku Nak Kahwin’ hadir dengan vibe yang lebih ringan dan positif, sedikit perubahan mood yang lebih ‘happy’ untuk pendengar,” tambahnya lagi.

Lagu ini juga mengetengahkan isu yang sering dihadapi generasi muda, khususnya berkaitan tekanan sosial dan keluarga.

“Isu ini memang sudah lama wujud dan masih relevan hingga hari ini. Lebih-lebih lagi apabila berkumpul dengan keluarga, soalan seperti ‘bila nak kahwin?’ pasti akan timbul.

“Pada saya, penting untuk kita hadapinya dengan tenang dan tidak terlalu beremosi, serta sentiasa bergantung kepada sokongan diri sendiri dan orang terdekat,” katanya.

Cabaran Perjalanan & Mesej Positif Kehidupan

Di sebalik pelancaran ini, Andi turut berkongsi bahawa perjalanan untuk merealisasikan lagu ini bersama album penuhnya, Ding Geding, bukanlah mudah.

Perancangan pelancaran sebelum ini terpaksa ditangguhkan apabila beliau diuji dengan masalah kesihatan.

Namun, tempoh tersebut dimanfaatkan untuk berehat dan pulih sepenuhnya sebelum kembali dengan semangat serta tenaga baharu.

Kini, dengan keadaan kesihatan yang semakin baik, Andi bersyukur akhirnya dapat berkongsi karya ini kepada peminat.

“Lagu ini membawa mesej yang ringan tetapi bermakna bahawastatus seseorang tidak menentukan kebahagiaan. Sama ada single atau sudah berkahwin, setiap orang ada perjalanan masing-masing.

“Saya berharap ‘Aku Nak Kahwin’ dapat memberi rasa positif kepada pendengar dan menjadi pembukaan yang baik untuk album penuh saya yang akan datang, ‘Ding Geding’,” ujar Andi.

‘Aku Nak Kahwin’ boleh didengari di semua platform penstriman digital sejak 17 April lalu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Published by
MH