Akhirnya…Dua Beranak Ditahan Gara-Gara Kes Viral Tembak Hingga Terkulai Monyet ‘Baby Sayang’

Share

Insiden seorang lelaki yang menembak seekor monyet gara-gara gagal menyebut ungkapan ‘baby sayang’ sememangnya menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia.

Bagaimanapun hari ini, pihak polis mengesahkan mereka telah berjaya menahan dua beranak di rumah di Taman Kenangan, Sitiawan, Perak, malam tadi berkaitan kes kejam tersebut.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman Datuk Asmawati Ahmad berkata, sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung telah membuat serbuan di rumah berkenaan pada 9 malam tadi.

“Dalam serbuan itu, kami menahan dua lelaki iaitu anak beranak selain merampas pistol yang dipercayai digunakan dalam kes berkenaan.

“Kedua-dua tangkapan terbabit dibawa ke IPD Manjung untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini,” katanya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Video yang tular sejak dua hari lalu itu memaparkan seorang lelaki mengacukan pistol kepada seekor haiwan yang dikurung di dalam sebuah sangkar.

Lalu, satu das tembakan telah dilepaskan dan telah mengenai tepat di bahagian kepala binatang tersebut.

Terdahulu, selebriti turut telah menyelar tindakan individu berkenaan yang disifatkan tidak berperikemanusiaan itu.

Antara selebriti yang lantang bersuara menyelar tindakan ini ialah pelakon, Mira Filzah yang merupakan individu yang menyebabkan perkataan ‘baby sayang’ tular di media sosial baru-baru ini.

Sementara itu, penyanyi Faiza Tahir dan Caprice turut menyelar sekeras-kerasnya tindakkan tersebut di laman Instagram.

Malah, beberapa selebriti lain turut dilihat menyuarakan perkara yang sama.

Tahniah diucapkan buat PDRM kerana telah memberkas dua individu berkenaan dan diharapakan mereka akan menerima hukuman yang setimpal.
sumber: Instagram Artis Berkenaan/ Harian Metro
IKLAN