Ahmad Fauzee, 65 Tahun Masih Tegap Berlakon

Sudah agak lama peminat Ahmad Fauzee Abdul Samad tidak melihat pelakon ini beraksi dalam filem atau drama.

Sebenarnya selebriti berusia 65 tahun ini juga mengakui gaya lakonan hari ini berbeza lantaran mengejar masa selain pelbagai perubahan yang berlaku dalam industri.

Bagaimanapun, pelakon dan penyanyi ini tidak menghilangkan diri, sebaliknya mengakui penerbit atau pengarah sukar menghubunginya kerana sering bertukar nombor telefon selain tidak aktif di media sosial.

Pelakon senior ini memberitahu, pada zamannya, pelakon akan diberi skrip awal untuk memahami karakter namun kini perjalanan kerja untuk penggambaran drama lebih pantas selain mereka perlu jelas dengan karakter masing-masing.

IKLAN

“Sebaik saja pengarah kata action, kena terus berlakon dan mood karakter sudah mampu diserap pelakon,” katanya kepada Media Hiburan.

Mengakui kekok pada awalnya, anak jati Kuala Lumpur ini bagaimanapun tidak mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri.

“Mahu atau tak, saya terpaksa lakukannya. Kalau tak, saya akan tertinggal. Lagipun, cabarannya juga lebih besar.

 

“Alhamdulillah, segala-galanya berjalan dengan lancar,” katanya.

Kini, Ahmad Fauzee kembali mengubat kerinduan peminat selepas sekian lama menyepi apabila muncul dalam beberapa drama bersiri popular termasuk Dia Semanis Honey dan Hero Seorang Cinderella.

Ceritanya lagi, pertemuan dengan pelakon dan penerbit, Datuk Rosyam Nor membuka semula laluannya untuk kembali aktif apabila dia mula dipelawa rakannya itu.

Dia yang pada awalnya berat hati untuk menerimanya tetapi akhirnya bersetuju menyertai satu telefilem istimewa selain drama bersiri Sahabat.

IKLAN

Jelasnya, drama tersebut memberi peluang dia berkenalan dengan pengarah dan penerbit Michael Ang.

“Saya sangat selesa bekerja dengan Michael. Lagipun, dia seorang yang suka membantu. Segala arahan diberi jelas dan senang difahami,” katanya.

Pada masa sama, bintang filem Kolej 56 ini mengakui jiwanya lebih kepada bidang nyanyian.

“Alhamdulillah, saya masih aktif menyanyi dan hingga kini tidak putus-putus memenuhi undangan persembahan.

 

“Setakat ini kebanyakan persembahan nyanyian lebih kepada persembahan majlis makan malam korporat dan tertutup,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Fauzee menjayakan drama 26 episod, Khabar Dari Casablanca yang disiarkan di TV2, jam 8.30 malam sejak 2 Ogos lalu.