Agong, Permaisuri Berkenan Emolumen Diraja Tidak Dibayar Selama 6 Bulan

Share

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan supaya kerajaan tidak membayar Emolumen Diraja kepada Seri Paduka berdua selama enam bulan mulai Mac hingga Ogos 2020.

Memetik Bernama, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perkenan oleh Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bertujuan membantu meringankan beban kerajaan dalam menangani Covid-19 serta menyahut keputusan kerajaan memotong dua bulan gaji perdana menteri, menteri serta timbalan menteri dan disalurkan ke Tabung Covid-19.

“Perkenan Seri Paduka baginda berdua ini turut mencerminkan keprihatinan dan keperibadian tinggi Seri Paduka baginda berdua terhadap perkembangan terkini pandemik ini dan situasi kewangan negara.

“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia, Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi kerajaan berkaitan di atas pengiktirafan yang telah diberikan oleh firma perkhidmatan kewangan terkemuka di dunia baru-baru ini berkenaan tata cara pengendalian Covid-19 di Malaysia,” katanya seperti yang dipetik.

Sumber : Bernama

IKLAN