
Anak kedua kepada pelakon Amyza Aznan, Adrian Adam mengakui tidak menyangka persembahan istimewanya pada konsert minggu kelima Talk To My Manager musim ke-2 (TTMM2) malam tadi, menerima sambutan luar biasa audiens.
Menurut Adrian, dia memilih untuk membawakan lagu Ku Mohon nyanyian asal Datuk Sheila Majid, bagi berkongsi rasa hatinya bersama penonton.
“Saya rasa gembira dan terharu. Sebenarnya saya langsung tak jangka apabila persembahan saya akan mendapat sambutan sebegitu. Saya sangat bersyukur.
“Lagu itu sangat dekat dengan kehidupan saya. Jadi, saya pilih lagu ini agar orang lain juga boleh rasa lebih dekat,” katanya kepada MH.
Adrian berkata demikian ketika ditemui selepas tamat saingan minggu kelima TTMM2 yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.
Persembahan Adrian berjaya menyentuh hati ramai sehingga hampir keseluruhan dewan memberikan ‘standing ovation’ dan tepukan gemuruh.
Malah juri tetap, Datuk AC Mizal turut menyifatkan Adrian sebagai penyanyi yang memiliki kualiti vokal baik dan mampu menjadi pencabar terkuat sekiranya bersaing dalam program TTMM2.
Menurut Adrian lagi, dia sebenarnya sudah merancang untuk membawakan lagu Ku Mohon di TTMM2 sebelum mengambil keputusan menarik diri atas faktor kesihatan.
“Pada malam ini, saya juga terpaksa ketepikan perasaan malu saya. Sebenarnya lagu ini memang sudah ada dalam senarai lagu yang akan saya bawakan jika saya bertanding di TTMM2.
“Malah, pada tahun lepas, saya sudah adakan sesi latihan bersama guru vokal, Cikgu Shafi. Untuk persembahan pada malam ini, saya buat persiapan selama seminggu,” ujarnya.
Walaupun berat untuk melepaskan peluang tersebut, Adrian mengakui keputusan menarik diri daripada TTMM2 dibuat demi kebaikan semua pihak.
“Memang agak susah untuk saya lepaskan peluang di TTMM2 ini. Namun, demi kebaikkan semua pihak, saya kena lepaskan juga. Saya sendiri yang buat keputusan itu. Ibu hanya ikut kata putus saya.
“Ketika itu, keadaan saya juga tidak berapa baik. Jadi, saya tak mahu ambil risiko,” kongsinya lagi.
Pada Februari lalu, remaja ini telah didiagnosis menghidap kanser tulang.
Berkongsi mengenai keadaan kesihatannya, Adrian bersyukur apabila setakat ini, kanser yang dihidapinya tidak merebak ke bahagian lain.
“Keadaan tubuh saya okay sahaja cuma kaki saya mengalami bengkak. Nak berjalan itu agak susah sedikit. Bulan lepas, saya telah melakukan ujian darah.
“Alhamdulillah kanser itu hanya di satu tempat sahaja dan ia tidak merebak,” ujarnya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini