
Pelakon Beto Kusyairy mengakui tersentuh sebaik menerima tawaran untuk membintangi naskhah berat, Good Boys Go To Heaven yang mengangkat isu jenayah tragis kanak-kanak serta kesihatan mental.
Menurut Beto, hanya melalui perbincangan awal secara verbal sudah cukup untuk membuatkan emosinya bercampur-baur sehingga meremang bulu roma.
Ia sekali gus menyedarkan kepentingan naskhah tersebut untuk diketengahkan kepada masyarakat.
“Daripada perbincangan secara verbal, saya sudah tersentuh, meremang bulu roma dan rasa yang bercampur baur. Naskhah ini memang perlu diangkat untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai.
“Isu mengenai jenayah kanak-kanak ini ada banyak perspektif. Ada diantara kita yang pernah punyai trauma atau perasaan daripada orang di sekeliling,” katanya kepada MH.
Penerima trofi Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana yang berlangsung di TGV Cinema KLCC pada Rabu.
Dalam masa sama, Beto turut mendedahkan bahawa filem ini menuntut komitmen yang sangat tinggi sehingga dia berasa amat penat sepanjang penggambaran.
“Semua babak di dalam filem ini berat dan memenatkan. Sejak mula penggambaran, babak pertama kami adalah bila jumpa anak meninggal.
“Walaupun berat, namun ia membantu kami membawakan emosi itu hingga ke akhir. Setiap watak itu ada cabarannya yang tersendiri.
“Saya juga mahu memberikan keadilan kepada watak ini sebagai seorang bapa yang kehilangan anak. Saya cuba buat sehabis baik.
“Saya tiada anak tapi saya sangat rapat dengan anak-anak kawan saya. Saya anggap mereka seperti anak sendiri. Aspek itu sedikit sebanyak membantu. Selebihnya saya ikut input pengarah,” ujarnya lagi.
Mengulas mesej yang ingin disampaikan, Beto menegaskan karya seperti ini berperanan sebagai cerminan realiti masyarakat.
“Segala bentuk drama, siri atau filem adalah cerminan kepada masyarakat. Sebagai pelakon, kita nak menceritakan sejujur yang mungkin dan mahu penonton membuka minda.
“Kita juga nak mendedahkan mengenai realiti kehidupan masa kini. Sekiranya mereka boleh relate dengan siri ini, mungkin mereka boleh mula cari pertolongan di tempat yang betul,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Beto tidak menafikan bahawa perasaannya sering terusik setiap kali mendengar kes melibatkan kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah.
“Saya sangat terkilan bila dengar kes melibatkan kanak-kanak. Sehingga kini, ada beribu kes melibatkan kanak-kanak hilang dan ada yang masih belum selesai.
“Seperti pengarah kata, adakah dunia kita kini semakin sakit sehingga kita perlu berhadapan dengan kes seperti ini. Kenapa sanggup perlakukan sebegitu kepada kanak-kanak yang tidak berupaya.
“Saya harap siri ini dapat memberikan keadilan kepada kes-kes di luar sana,” akhirinya.
Selain Beto, siri terbitan Astro Originals ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Zahira MacWilson, Amerul Affendi, Malek Mccrone, Firdaus Karim dan ramai lagi.
Good Boys Go To Heaven bakal ditayangkan bermula 8 Mei ini di saluran On Demand, Astro Ria dan Astro Citra.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini