
Pelawak legenda, Saiful Apek mendedahkan dirinya sering menerima pelbagai luahan daripada netizen dan peminat yang berdepan masalah tekanan hidup, stres serta kesukaran emosi.
Menurut Apek, dia sentiasa terbuka untuk berkongsi pandangan dan memberikan kata-kata semangat kepada mereka yang memerlukan sokongan agar dapat kembali bangkit dan meneruskan kehidupan dengan lebih positif.
Bagaimanapun, usaha yang dilakukan itu tidak terlepas daripada kritikan segelintir pihak yang mempersoalkan kredibilitinya untuk memberi nasihat kepada orang lain.
“Ketika ini, ramai yang minta saya beri kata-kata semangat di media sosial. Saya agak risau juga, dalam pada saya nak menyampaikan kata-kata semangat, ada minoriti yang rasa kurang senang.
“Ada yang persoal ‘Kenapa nak dengar sangat cakap Apek ini? Dia pun tak berapa betul. Tak tahu ke kisah silam dia?’
“Pada saya, tiada orang yang berkelakuan jahat, tiada masa hadapan. Tiada orang baik yang tiada kisah silam. Setiap manusia ada kebaikkan dan kekurangan,” katanya kepada MH.
Apek yang juga anggota kumpulan Senario berkata demikian ketika ditemui pada sidang media filem The Real Mamu yang berlangsung di Royale Chulan, Kuala Lumpur, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Apek berpandangan setiap individu diberikan peluang untuk berubah dan memperbaiki diri. Justeru, dia memilih untuk terus menyampaikan perkara-perkara positif yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat.
“Dalam hidup ini, Allah berikan kita peluang dan pilihan. Jadi, saya pilih untuk terus berjuang dan menyampaikan kata-kata yang sebenarnya telah banyak buat orang terkesan.
“Biarlah kebaikkan itu terkesan pada mereka untuk dijadikan iktibar dan pembakar semangat. Ketika ini, ramai orang yang dilanda anxiety, serangan panik dan stres.
“Mereka memang serius dan bukan main-main. Mereka malu nak bercerita dengan orang lain. Bila bercerita dengan saya, mereka rasa senang dan mudah nak meluahkan. Mereka rasa saya lebih memahami,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Apek berpendapat bukan semua individu hanya memerlukan bantuan dari sudut kewangan, sebaliknya ramai juga yang dahagakan sokongan moral untuk meneruskan kehidupan.
“Tolak tepi soal bantuan kewangan, ramai juga yang perlukan sokongan moral. Selalunya ini kerja pakar motivasi dan pendakwah. Namun, saya tak keberatan untuk menggalas tanggungjawab ini.
“Saya selalu gunakan kaedah yang lebih mesra. Saya tak suka yang puitis dan buat orang penat berfikir.
“Mereka banyak minta saya kata-kata semangat yang mudah dan kelakar. Walaupun nampak mudah tapi ada makna tersirat,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini