
Pempengaruh sensasi, Sajat Kamaruzzaman, meluahkan rasa syukur apabila akhirnya dapat bertemu semula dengan ibunya selepas enam tahun terpisah.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Sajat mengakui walaupun pelbagai perkara berlaku sepanjang tempoh tersebut, dia tidak pernah berasa jauh daripada insan yang disayanginya meski sudah lama tidak bertemu.
“Akhirnya… Selepas sekian lama, saya akhirnya dapat bertemu seseorang yang sudah lama tidak saya jumpa.
“Kadang-kadang, kehidupan membawa kita jauh daripada orang yang pernah kita sayangi.
“Tahun demi tahun berlalu, banyak yang berubah dan kita terus menjalani kehidupan masing-masing.
“Namun apabila akhirnya bertemu semula, perasaan itu masih terasa begitu dekat dan sama,” tulisnya.
Menurut Sajat, walaupun keadaan telah banyak berubah, ada insan yang akan sentiasa kekal dalam ingatan dan menjadi memori indah dalam hidupnya.
“Tidak kira berapa lama masa berlalu, ada insan yang tetap kekal sebagai memori indah dalam hidup kita.
“Dan hari ini, saya bersyukur kerana kehidupan memberi kami peluang sekali lagi untuk duduk bersama, berbual, ketawa dan mencipta kenangan baharu.
“Akhirnya…bersama ibu saya semula selepas enam tahun,” kongsinya lagi.
Baca Artikel Lain;
Dalam hantaran berasingan, Sajat menyifatkan tempoh enam tahun itu bukanlah satu masa yang singkat untuk berjauhan daripada insan tersayang.
“Enam tahun adalah satu tempoh yang panjang untuk berjauhan dengan insan yang kita sayang.
“Banyak yang telah berlaku, terlalu banyak momen yang berlalu, dan tidak terkira berapa kali saya berharap untuk dapat duduk di sisinya semula.
“Hari ini, dapat melihatnya, memeluknya dan meluangkan masa bersama adalah sesuatu yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.
“Kehidupan mungkin membawa kita jauh, tetapi jarak tidak akan pernah memadamkan kasih sayang antara seorang ibu dan anak.
“Selepas enam tahun, akhirnya saya dapat mengatakan…,” akhirnya disusuli emoji berbentuk hati.
Perkongsian tersebut meraih perhatian warganet yang turut tersentuh menyaksikan momen istimewa itu.
Rata-rata mereka turut menitipkan doa agar Sajat dan ibunya terus diberikan kesejahteraan serta kebahagiaan.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
.