
Ahli politik muda berhaluan progresif, Zohran Mamdani, mencipta sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai Datuk Bandar New York City yang baharu selepas menewaskan bekas Gabenor, Andrew Cuomo, 67, dalam pilihan raya yang berlangsung baru-baru ini.
Kemenangan Mamdani yang baru berusia bukan sahaja menandakan perubahan besar dalam landskap politik Amerika Syarikat, malah turut mencatat sejarah apabila beliau menjadi Datuk Bandar pertama beragama Islam dan berketurunan Asia Selatan di kota metropolitan berkenaan.
Dilahirkan di Kampala, Uganda, sebelum berhijrah ke Amerika Syarikat, Mamdani sebelum ini merupakan Ahli Dewan Perhimpunan Negeri New York yang mewakili daerah Queens sejak tahun 2021. Latar belakangnya sebagai anak imigran serta pendekatan politik yang menekankan isu rakyat bawahan menjadikan beliau antara calon pilihan generasi muda dan golongan pekerja bandar.
Antara janji utama Mamdani termasuklah memperkenalkan pengangkutan awam percuma, menambah baik kemudahan perumahan mampu milik, serta memperkukuh sistem ekonomi tempatan melalui inisiatif “city-owned groceries” bagi menstabilkan harga barangan asas.
Kejayaan beliau menewaskan Cuomo yang merupakan tokoh politik berpengaruh yang pernah menerajui pentadbiran negeri New York disifatkan pemerhati politik sebagai satu kemenangan besar blok progresif terhadap kelompok tradisional. Ia juga dilihat mencerminkan perubahan cita rasa politik rakyat Amerika yang semakin cenderung kepada pemimpin muda dengan agenda reformasi sosial yang lebih menyeluruh.
Namun begitu, penganalisis berpendapat perjalanan Mamdani selepas ini bukan mudah. Pelaksanaan dasar-dasar baharunya dijangka berdepan cabaran besar termasuk tentangan daripada sektor korporat dan ahli politik konservatif yang menganggap visinya terlalu ekstrem dan membebankan kewangan bandar.
Dalam kenyataan ringkas selepas pengumuman kemenangan itu, Mamdani menyifatkan kejayaan tersebut sebagai “kemenangan untuk rakyat marhaen” yang selama ini berjuang menuntut keadilan ekonomi dan sosial di bandar yang tidak pernah tidur itu.
Menariknya, sebelum bergiat aktif dalam politik, Mamdani juga pernah menghasilkan lagu dan bergelar rapper dengan nama pentas Mr. Cardamom, memperlihatkan sisi kreatifnya dalam dunia seni yang kini menjadi sebahagian daripada identiti peribadinya sebagai pemimpin generasi baharu.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi TikTok, Instagram, Facebook & Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




