Categories: Berita Hiburan

Zizi Kirana Sambut Baik Penganjuran Majlis Ilmu Buat Wanita, Sama-Sama Perkukuh Agama Demi Kehidupan Lebih Bermakna

Share

Penyanyi Zizi Kirana menyambut baik penganjuran program ilmu dan kerohanian khusus buat golongan wanita.

Ini kerana bagi Zizi, majlis seumpama ini mampu memberi peluang kepada mereka untuk terus menimba ilmu agama dalam suasana yang lebih mudah untuk diakses.

Menurutnya lagi, penganjuran program di kawasan setempat akan memudahkan lebih ramai golongan ibu mislanya, untuk sama-sama hadir sekaligus mengimarahkan majlis.

“Saya gembira dan bersyukur bila majlis ilmu dan kerohanian membabitkan golongan wanita khususnya makin kerap dianjurkan oleh badan-badan tertentu.

“Bila adanya majlis seperti ini di kawasan setempat, ia secara tak langsung memudahkan golongan wanita itu sendiri untuk sama-sama hadir mengimarahkan program.

“Iyalah, kalau lokasinya jauh, ia mungkin sukar misalnya bagi para ibu yang mempunyai anak kecil dan sebagainya. Jadi bila saya sendiri hadir di Bidadari Dambaan Syurga yang dianjurkan Parlimen Maran, saya turut sama rasa teruja.

“Ini peluang terbaik untuk kita sama-sama peroleh ilmu menerusi perkongsian panel jemputan, Alhamdulillah. Insya-Allah saya doa dan mengharapkan semoga lebih banyak program ini dapat dianjurkan.

“Untuk saya sendiri, kalau ada masa memang akan cari majlis ilmu untuk dihadiri. Bertanya dengan rakan-rakan dan Ustazah yang rapat. Mana yang saya mampu pergilah,” katanya.

Ilmu Agama Bentuk Jati Diri

Melihat kepada situasi dan cabaran yang dihadapi golongan wanita pada masa kini, penyanyi yang kini muncul dengan lagu baharu, Yang Tinggal bersama Yasin Sulaiman dan Malique itu berpendapat, ilmu agama amat penting dalam membentuk jati diri sebagai seorang Muslimah.

Katanya, proses menuntut ilmu tidak seharusnya terhenti walau pada usia berapa sekali pun kerana ia menjadi bekalan penting dalam kehidupan.

“Saya sendiri masih lagi belajar, jauh sekali untuk titipkan nasihat. Cuma apa yang boleh saya kongsikan daripada apa yang saya belajar, sebagai wanita kita jangan ketinggalan untuk terus menimba ilmu.

“Tidak kiralah kalau kita rasa sudah tua, jangan pernah lelah untuk cari ilmu, termasuk ilmu agama. Sebab Ustazah pernah kongsikan pada saya, ‘makanan’ utama untuk roh (jiwa) kita ini adalah agama.

“Jadi bila kita dapat bagi ‘kenyang’, Insya-Allah hal duniawi juga akan kita cuba seiringkan secara perlahan-lahan,” katanya lagi.

Baca Artikel Lain;

https://www.mediahiburan.my/demi-rm5000-sangat-memalukan-zizi-kirana-terkilan-ada-yang-sanggup-jadi-tali-barut/

‘Bidadari Dambaan Syurga’ Perkasa Wanita

Terdahulu, program Bidadari Dambaan Syurga yang berlangsung pada 4 dan 5 September lalu di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maran, Pahang itu dianjurkan secara berterusan sebagai usaha memperkasakan wanita menerusi pengisian ilmu dan kerohanian.

Program di bawah inisiatif Apresiasi Pahang 1st itu turut menampilkan pelakon dan aktivis kemanusiaan, Yatt Hamzah, bersama Ustazah Sharifah Khasif dan Ustazah Aqidah Mawardi sebagai panel jemputan.

Kehadiran Zizi pula menjadi penyeri majlis apabila tampil membuat persembahan dengan menyampaikan lagu kerohanian dan qasidah.

Program selama dua hari itu diharap menjadi wadah kepada golongan wanita untuk memperkukuh ilmu serta bermuhasabah, sekali gus menyuntik kesedaran dan semangat melakukan perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH