
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, mengakui sentiasa mengamalkan zikir Bismillah 5 sebagai pelindung rohani buat diri dan keluarga daripada sebarang unsur tidak baik.
Menurut Siti, ia zikir yang diajarkan oleh ibunya, Siti Salmah Bachik dan telah diamalkan sejak hamil anak pertama, Siti Aafiyah kira-kira tujuh tahun lalu.
“Kita semua tahu zikir Bismillah 5 ini banyak manfaatnya dan saya juga ada belajar daripada mak sebab ketika mengandung anak sulung dan saya teruskan sehingga ke hari ini.
“Pada saya, ia bukan sahaja untuk anak-anak kecil, tapi untuk kita juga. Malah, saya juga mengamalkan bacaan selawat dan doa pelindung seperti ‘tiga qul’ dan sebagainya.
“Bagaimanapun, bila sudah memiliki cahaya mata, mak memang selalu berpesan untuk baca zikir tambahan seperti Bismillah 5 sebagai ikhtiar untuk mengelak daripada perkara tidak diingini,” katanya.
Siti ditemui ketika majlis pelancaran album terbaharunya, Gema Bumantara, di TGV Pavilion Bukit Jalil, pada Selasa.

Pesan Ibu & Ujian Anak Saudara
Baru-baru ini, anak saudaranya, Amad Dayyan, diuji masalah kesihatan yang dikaitkan dengan gangguan mistik semasa membuat persembahan akhir dalam sebuah program realiti.
Siti mendedahkan, ibunya sering berpesan kepada seluruh ahli keluarga agar sentiasa menjaga diri dan berwaspada, terutama yang terbabit dalam dunia seni.
“Saya dengan ahli keluarga memang ada kumpulan WhatsApp. Mak memang selalu pesan kepada anak-anak dia terutama kita dalam industri ini yang sentiasa terbuka dengan apa sahaja.
“Kadang-kadang kita tak tahu apa dibuat, kita tersalah cakap. Jadi, mak akan selalu ingatkan, bukan mudah jadi anak seni,” katanya lagi.
Mengulas kejadian yang menimpa Amad, Siti enggan memperbesarkan perkara itu dan menganggapnya sebagai sebahagian daripada perjalanan seorang anak seni.
“Kisah itu pun sudah berlalu, saya pun tak mahu panjangkan lagi. Ini pengalamanlah, setiap orang ada pengalaman dan ini pengalaman yang Amad lalui, jadi perlu berwaspada, itu sahaja,” katanya.
Terdahulu, suasana panik tercetus ketika konsert Grand Finale Talk To My Manager apabila Amad tiba-tiba kelihatan seperti diserang kesakitan sebelum dibawa keluar untuk rawatan dan kembali meneruskan persembahan.
Kejadian itu mencetus pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen, termasuk dakwaan kononnya Amad diganggu unsur mistik atau disihir oleh individu tertentu.
@mediahiburanofficial Comelnya! Momen candid Siti Nurhaliza bersama ibu tersayang, Siti Salmah Bachik… ♥️✨Sentiasa hadir sokong kerjaya seni anaknya 😍 #MHnews #MediaHiburan #FYP ♬ original sound – Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




