
Pelakon, Zara Zya tampil menjelaskan mengenai khabar angin yang tular sejak semalam yang mengatakan dirinya kini sedang menjalin hubungan istimewa bersama bersama seorang usahawan yang juga bekas tunang kepada seorang selebriti.
Menurut Zara, hubungannya bersama usahawan terbabit hanyalah sekadar teman biasa dan mereka juga baru pertama kali berjumpa.
“Maaf kerana terpaksa cakap sebegini, ini sudah melampau. Saya tiada sebarang hubungan peribadi dengan individu yang digosipkan.
“Hubungan kami hanyalah sekadar kenalan biasa. Jumpa pun baru sekali,” tulisnya.
Perkara itu dikongsikan oleh Zara menerusi hantaran di aplikasi Threads.
Jelas pelakon drama Sumpah Ibuku itu lagi, dia berharap agar individu berkenaan berhenti untuk memberikan sebarang kenyataan yang mampu mencemarkan nama baik dirinya dan keluarga.
“Jika pihak sana mempunyai perasaan, itu adalah urusan peribadi dia dan tiada kena mengena dengan saya.
“Saya harap dia berhenti menyebarkan naratif yang tidak tepat kerana ia menjejaskan reputasi saya serta keluarga,” kongsinya.
Dalam masa sama, Zara menegaskan dirinya enggan melayan gosip-gosip murahan yang sedikit sebanyak boleh mencalarkan reputasinya.
“Saya juga tidak berminat untuk melayan gosip murahan macamni. Tolong temu bual saya sendiri. Bukan orang yang tiada kena mengena dalam industri,” ulasnya.
Terdahulu, tular foto Zara bersama seorang lelaki yang dikenali sebagai Datuk Seri Khazrul Elzey.
Khazrul, yang juga bekas tunang kepada selebriti sensasi Zarina Anjoulie, didakwa ada memberitahu sebuah portal hiburan bahawa dia tidak menolak kemungkinan untuk bertemu jodoh dengan Zara.
Malah, Khazrul turut memuji keperibadian aktres itu dan menyatakan kesediaannya untuk mengenali Zara dengan lebih rapat.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Sumber & Kredit Foto: Instagram & Threads Zara Zya