Berita

“Yang Belum Diuji, Jangan Terlalu Selesa,” – Linda Rafar Titip Kata Semangat Buat Abby Abadi, Ingatkan Netizen Usah Menangguk Di Air Keruh

Share

Penyanyi dan pelakon, Linda Rafar tampil memberikan kata-kata semangat buat sahabat baiknya, Abby Abadi susulan kemelut berpanjangan melibatkan anak-anaknya.

Menurut Linda, dia berharap orang ramai dapat memahami situasi yang terpaksa dilalui Abby dan tidak terlalu cepat membuat penilaian terhadap apa yang sedang berlaku.

“Setiap manusia akan diberikan ujian, cuma bentuk dan waktunya berbeza. Bagi yang hari ini belum diuji, jangan terlalu selesa dengan keadaan yang ada.

“Hidup ini ibarat roda ada masa kita di atas, dan ada masa kita berada di bawah.

“Allah SWT Maha Melihat, Maha Mendengar dan Maha Mengetahui setiap perkara yang berlaku, termasuk air mata yang tidak terlihat, hati yang terluka dan perjuangan yang tidak diceritakan kepada sesiapa,” tulisnya.

Perkara itu dikongsikan oleh anggota kumpulan Elite itu menerusi satu hantaran di Instagram pada Jumaat.

Usah ‘Senang’ Lihat Ujian Orang Lain

Dalam pada itu, Linda turut memberi pesan agar orang ramai tidak sesekali berasa senang melihat ujian yang sedang dilalui orang lain, sebaliknya mengambil iktibar dan memilih untuk mendoakan mereka.

“Jika hari ini ujian itu sedang menimpa orang lain, doakanlah mereka agar terus kuat, sabar dan tenang dalam melaluinya.

“Jangan pula kita mengambil kesempatan ketika keadaan sedang keruh. Jangan menangguk di air yang keruh, kerana ujian Allah SWT tidak memilih siapa yang akan diuji.

“Hari ini mungkin ujian mereka. Esok, mungkin giliran kita,” kongsinya lagi.

Sementara itu, Linda turut berharap agar Abby terus diberikan kekuatan untuk menghadapi segala rasa sedih dan ujian yang mendatang.

“Belajarlah untuk berempati ketika melihat orang lain sedang jatuh, kerana kita tidak pernah tahu bila kita pula memerlukan doa dan belas kasihan daripada orang lain.

“Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada setiap hati yang sedang diuji, mengangkat segala kesusahan dan menggantikannya dengan ketenangan serta hikmah yang lebih baik.

“Jaga hati, jaga kata-kata dan jangan pernah lupa setiap ujian ada dalam pengetahuan Allah SWT. Linda doakan Abby terus kuat,” kongsinya.

Sebelum ini, ucapan Abby sempena ulang tahun kelahiran anak bongsunya, Maria Danisha Hakim, mencuri perhatian ramai.

Dalam ucapan tersebut, Abby meluahkan rasa kecewa dan berkecil hati susulan sesutu yang didakwa berlaku antara mereka.

Bagaimanapun, perkongsian Abby menerima kecaman apabila netizen menyifatkan aktres itu tidak sewajarnya mengeluarkan kata-kata sedemikian terhadap anak kandungnya sendiri.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Linda Rafar

Published by
Aizam Manaf