
Isteri kepada pelawak dan usahawan Shuib, iaitu Watie Hanifiah tampil menjelaskan mengenai video tular membabitkan anak tirinya, Thalita, yang didakwa netizen bersikap kurang sopan, baru-baru ini.
Menurut Watie atau nama sebenarnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 35, insiden tersebut sebenarnya berlaku secara spontan sewaktu sesi siaran langsung di TikTok, dan baginya, ia tidak wajar diperbesarkan.
“Perkara itu berlaku secara spontan ketika live di TikTok. Thalita mungkin tidak perasan, dia pun tengah bercakap dengan orang-orang yang menonton.
“Saya hidup dengan dia dan saya kenal dia. Kalau situasi bercakap kasar berlaku di rumah mesti saya akan tegur.
“Tapi dalam keadaan itu dia tidak bermaksud mahu berkata begitu,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan bersama Yayasan Nurjiwa dengan kerjasama Inayah Beauty di Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Terdahulu, video memaparkan suara Thalita memanggilnya dengan panggilan “woi”, yang dimuat naik di media sosial milik Watie mencetuskan tular.
Rata-rata netizen meluahkan rasa tidak senang terhadap cara percakapan Thalita yang dilihat seolah-olah tidak menghormati orang yang lebih dewasa.
Lindungi Emosi Anak Tiri
Dalam pada itu, Watie akui telah berbincang lebih awal dengan Thalita agar gadis itu tidak tertekan dengan komen negatif netizen.
“Lepas video itu menjadi bualan, saya berterus-terang kepada Thalita. Saya kena beritahu sebelum dia membaca kisah yang tersebar.
“Saya tak mahu dia salah faham. Tak mahu dia terasa sebab saya post video tapi dia kena kecaman,” ujarnya lagi.
Thalita ialah anak kedua kepada Shuib hasil perkahwinannya bersama penyanyi, Allahyarham Siti Sarah.
Manakala Watie dan Shuib telah mendirikan rumah tangga pada 23 Jun 2023.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI