Wany Kayrie Cuti November Sebab SPM

Penyanyi, Wani Kayrie mengakui masih aktif menerima undangan menyanyi meskipun bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hujung tahun ini.

Bahkan, selebriti berusia 17 tahun ini tidak berhasrat untuk memperlahankan seketika karier seninya.

“Bagi saya, tiada istilah ‘berehat sementara’ bahkan pelajaran tetap menjadi keutamaan walaupun saya aktif menyanyi.

“Alhamdulillah, setakat ini prestasi pelajaran saya tak terganggu,” katanya pada Media Hiburan.

Bagaimanapun, pelantun lagu Jangan Jangan ini hanya akan memberi tumpuan sepenuhnya untuk SPM, pada November depan.

“Ketika itu, saya hanya akan berfokus pada SPM dan tak akan menerima apa-apa tawaran persembahan untuk menyanyi,” katanya.

IKLAN

Pada masa sama, penyanyi lagu Berteman Saja ini bersyukur apabila ibu bapanya memberi kebebasan dalam membuat keputusan sendiri.

“Tapi, saya tetap mengambil kira akan pandangan ibu bapa.

“Lagipun, saya lebih gemar berbincang dengan ibu bapa dan setiap pandangan mereka sangat membantu saya,katanya.

Berbicara mengenai kerjaya seninya, pemilik nama penuh, Syazwani Abdullah mengakui teruja merakamkan single Kumbang dan Bunga duet bersama Viral.

“Selain menyanyi solo, saya jtiada masalah merakam lagu secara duet dengan penyanyi lain jika berpeluang.

“Jadi, saya anggap kesempatan ini sebagai satu peluang yang tak boleh ditolak,” katanya.

Lebih istimewa, single yang dilancarkan sejak lima bulan lalu itu juga terpilih menjadi lagu tema untuk drama bersiri Hikayat Cinta Si Pematah Hati, baru-baru ini.

IKLAN

“Sejak menjadi lagu tema drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati, ia banyak membantu mempromosikan single tersebut.

“Jauh di sudut hati, saya gembira lagu itu semakin menjadi perhatian pendengar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, kini, Wani muncul dengan single solo terbaru, Aku Suka Kamu ciptaan Audy Mok dan lirik oleh Shazzy.

https://www.instagram.com/p/BXK5sO4lZ3h/?taken-by=wanikayrie&hl=en