
Selepas mencuri perhatian menerusi karya-karya terdahulu, penyanyi dan pelakon Fazura, kembali mewarnai industri muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharunya berjudul Kisah Terbaik.
Tampil sebagai sebuah balada yang sarat emosi, lagu tersebut mengangkat tema penerimaan, kekuatan diri dan harapan untuk terus melangkah ke hadapan.
Menurut Fazura, Kisah Terbaik bukan sekadar mengisahkan soal cinta, sebaliknya membawa mesej yang lebih universal mengenai penerimaan terhadap setiap pengalaman hidup yang membentuk diri seseorang.
“Bagi saya, ‘Kisah Terbaik’ bukan sekadar tentang cinta, tetapi tentang menerima setiap pengalaman yang membentuk diri kita.
“Walaupun ada kisah yang menyakitkan, akhirnya kita sedar semuanya hadir dengan hikmah. Saya harap lagu ini dapat menjadi teman buat sesiapa yang sedang melalui fasa untuk melepaskan dan memulakan lembaran baharu,” katanya.
Lagu ini merupakan hasil kolaborasi bersama komposer, penulis lirik dan penerbit, Aiman Sidek serta Reza Ramsey.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu menambah, proses pembikinannya berlangsung dalam suasana yang terbuka dan penuh kepercayaan sehingga setiap emosi dapat diterjemahkan dengan jujur ke dalam karya tersebut.
“Prosesnya sangat jujur dan terbuka. Kami banyak berbincang tentang emosi yang ingin disampaikan, dan Aiman serta Reza benar-benar memahami apa yang saya ingin luahkan.
“Mereka memberi ruang untuk saya berkongsi pandangan dan pengalaman, jadi lagu ini terasa sangat peribadi dan ikhlas,” jelasnya lagi.
Dari sudut susunan muzik pula, Kisah Terbaik menampilkan elemen sinematik dengan perkembangan emosi yang semakin memuncak, sekali gus melengkapkan penceritaan menerusi liriknya.
“Saya rasa lagu ini mempunyai perjalanan emosi yang sangat indah. Ia bermula dengan rasa yang lembut dan rapuh, kemudian berkembang menjadi lebih besar dan penuh harapan.
“Susunan muziknya benar-benar membantu menghidupkan setiap emosi dalam lirik. Bagi saya, inilah antara karya yang paling matang dan paling dekat dengan diri saya,” katanya.
Baca Artikel Lain;
Berkongsi hubungan peribadinya dengan lagu tersebut, Fazura mengakui setiap pengalaman hidup yang pernah dilalui menjadi antara faktor utama dirinya begitu dekat dengan mesej yang ingin disampaikan menerusi lagu ini.
“Saya percaya setiap orang melalui fasa jatuh dan bangun, begitu juga saya. Ada banyak pengalaman yang mengajar saya tentang kekuatan, keikhlasan dan menerima apa yang telah ditentukan.
“Sebab itu saya begitu terhubung dengan lagu ini kerana ia mengingatkan saya bahawa setiap perjalanan, walaupun sukar, tetap mempunyai makna yang indah,” ujarnya.
Menerusi lagu ini juga, Fazura berharap ia mampu menjadi teman dan sumber kekuatan kepada para pendengar, khususnya mereka yang sedang melalui detik-detik sukar dalam kehidupan.
“Harapan saya sangat sederhana. Saya berharap ‘Kisah Terbaik’ dapat menyentuh hati pendengar dan memberi sedikit ketenangan kepada mereka yang sedang melalui waktu-waktu sukar.
“Kalau lagu ini mampu membuat seseorang rasa difahami, atau memberi mereka harapan untuk terus melangkah, itu sudah menjadi hadiah yang sangat bermakna buat saya,” akhirinya.
Kisah Terbaik kini boleh distrim di semua platform penstriman digital.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.