
Satu pencapaian membanggakan berjaya diraih anak sulung pengarah, Aziz M Osman dan bekas isterinya, penerbit Puteri Lily Lokman.
Pada usia 15 tahun, Puteri Nur Azzahra atau lebih dikenali sebagai Ara Aziz mencipta sejarah apabila menjadi pelajar termuda di Manipal University College Malaysia (MUCM), Melaka.
Ara dijadualkan memulakan pengajian dalam program asasi di universiti berkenaan pada 23 Julai ini.
Menurut ibunya, Puteri Lily Lokman atau Lily, Ara akan mengikuti program asasi selama setahun sebelum menyambung pengajian ke peringkat ijazah.
Katanya, selepas menduduki peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) tahun lalu dan memperoleh sijil O Level, Ara sememangnya sudah memasang impian untuk melanjutkan pengajian ke luar negara.
“Lepas menduduki peperiksaan IGCSE tahun lalu dan memperoleh sijil O Level, Ara terus menyambung pengajian di peringkat asasi. Insya-Allah, tahun depan dia akan menyambung pengajian ke peringkat ijazah.
“Ara juga memasang impian untuk mengambil dua ijazah, namun itu masih perancangan jangka panjang.
“Buat masa ini, kami mahu dia menamatkan pengajian asasi terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mengenai bidang yang akan dipilih.
“Dia cenderung dalam bidang perubatan, tetapi syarat kemasukan memerlukan pelajar berusia sekurang-kurangnya 18 tahun.
“Disebabkan belum cukup umur, Ara akan meneruskan pengajian dalam bidang lain terlebih dahulu.
“Bidang yang akan dipilih nanti bergantung kepada perbincangan bersama pensyarah dan pandangan pihak berkaitan,” katanya, petik BH Online.
Lily menambah, faktor usia bukanlah halangan buat Ara untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di universiti kerana anaknya sudah lama terbiasa bergaul dengan mereka yang lebih berusia.
Jelasnya, ketika mengikuti pengajian IGCSE sebelum ini, Ara turut melangkau beberapa kelas dan tidak belajar bersama rakan yang sebaya dengannya.
“Dia memang sudah biasa berkawan dengan mereka yang lebih tua. Adik-beradiknya juga jauh lebih berusia daripadanya.
“Jadi, saya percaya suasana di universiti nanti tidak jauh berbeza. Harapnya dia dapat menyesuaikan diri dengan baik,” katanya lagi.
Mengulas kejayaan anak sulungnya itu lagi, Lily mengakui berasa bangga dengan pencapaian yang diraih Ara.
Bagaimanapun, sebagai ibu, dia tetap menyimpan rasa bimbang memandangkan perjalanan akademik anaknya masih panjang.
“Sebagai ibu, sudah tentu saya bangga melihat kejayaan Ara. Namun, pada masa sama saya tetap risau kerana perjalanan dia masih jauh.
“Saya sentiasa berpesan supaya dia menjadi versi terbaik dirinya, terus berusaha dan tidak cepat berpuas hati dengan apa yang sudah dicapai,”
katanya.Buat masa ini Ara akan berulang-alik ke kampus dan tidak menetap di kolej kediaman.
Mengulas hasrat Ara untuk menyambung pengajian di luar negara, Lily mengakui dia masih belum bersedia untuk melepaskan anaknya kerana merasakan Ara masih memerlukan bimbingan selain bimbang akan berdepan kejutan budaya.
“Ara memang ada menyatakan hasrat untuk melanjutkan pengajian di luar negara, tetapi buat masa ini saya belum berani melepaskannya.
“Walaupun dari segi akademik dia berada di hadapan, saya masih belum nampak dia benar-benar bersedia untuk berdikari.
“Saya bimbang dia akan mengalami kejutan budaya. Pada saya, dia masih memerlukan bimbingan dan saya juga masih perlu membimbingnya. Biarlah dia berada dekat dengan saya supaya lebih mudah dipantau.
“Apabila usianya mencecah 18 tahun nanti, sekiranya dia masih berhasrat menyambung pengajian di luar negara atau mengikuti program ijazah yang diimpikan, insya-Allah kami akan cuba merealisasikan hasrat itu mengikut kemampuan.
“Kami akan sentiasa memberi sokongan dari segala aspek,” katanya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.