Berita

“Urat Kepala Sampai Ke Telinga, Sakit Berdenyut,” – Zarif Ghazzi Tertekan Jiwai Watak Abbas Hingga Terpaksa Jumpa Doktor

Share

Pelakon Zarif Ghazzi mengakui watak Abbas yang dibawakannya dalam siri terbaharu, Kudrat 1968: High Council, menuntut penghayatan emosi yang cukup berat sehingga memberi kesan kepada keadaan fizikalnya.

Membawakan karakter yang dipenuhi rasa amarah yang meluap-luap menyebabkan dirinya berdepan tekanan sehingga terpaksa mendapatkan nasihat daripada doktor.

“Watak Abbas ini masih kekal di dalam diri saya. Sebelum ini, saya kurang ada urat di kepala. Bila saya melakonkan watak ini, antara kesan sampingannya adalah urat kepala itu sudah sampai ke telinga.

“Saya rasa sakit yang berdenyut-denyut. Bila jumpa doktor, dia nasihatkan saya supaya cukupkan rehat. Katanya, keadaan saya sangat tertekan.

“Ia terjadi semata-mata saya nak menghidupkan watak Abbas ini,” katanya kepada MH.

Zarif berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana siri Kudrat 1968: High Council yang berlangsung di TGV KLCC, Kuala Lumpur, pada Khamis.

Turun 21 KG Demi Watak

Pelakon berusia 22 tahun itu turut mendedahkan, demi memenuhi tuntutan visual dan karakter Abbas, dia berjaya menurunkan berat badan sebanyak 21 kilogram dalam tempoh hampir empat bulan.

“Ini adalah pengalaman kali pertama saya berlakon sehingga kena berjumpa doktor. Saya tak pernah bawa watak seberat ini. Karakter ini juga menuntut saya untuk kuruskan badan.

“Ketika itu, berat badan saya adalah 90 kilogram dan saya berjaya turun ke 69 kilogram. Dalam masa tiga hingga empat bulan, saya tidak makan nasi dan aktif bersenam.

“Saya buat segala cara untuk dapatkan penampilan seperti Abbas. Mungkin itu juga sebab saya dapat kesan sampingan itu. Saya tak makan tapi kena berlawan pula.

“Saya kena marah dengan pengarah aksi. Katanya nak berlawan kena ada tenaga. Mana datang tenaga? Kena makan nasi,” kongsinya lagi.

Emosi Abbas Terbawa Hingga Ke Rumah

Dalam pada itu, Zarif mengakui ada kalanya sifat dan emosi watak Abbas terbawa-bawa sehingga ke luar set penggambaran, meskipun ia jauh berbeza dengan keperibadiannya yang sebenar.

“Sudah tentu perasaan itu ada kalanya terbawa-bawa sampai ke luar. Sebagai pelakon, saya perlu percaya yang roh watak itu ada di dalam diri saya.

“Ia akan memudahkan saya untuk mengeluarkan watak Abbas ketika berlakon. Bila saya sendiri percaya dengan watak ini, penonton juga akan percaya.

“98% watak ini bukanlah diri saya. Namun, emosi itu ada kalanya terbawa sampai ke rumah. Saya pernah marah rakan serumah hanya kerana hal kecil.

“Bila saya ingat semula, itu bukanlah diri saya. Itu adalah Abbas. Cara saya mengeluarkan watak Abbas itu dengan pergi bercuti,” ujarnya lagi.

Ditanya sama ada dia akan berehat seketika daripada menerima tawaran naskhah yang menuntut komitmen fizikal dan mental yang tinggi, Zarif menegaskan cabaran tersebut bukan alasan untuk memperlahankan langkahnya sebagai pelakon.

“Saya anggap ini adalah perjalanan saya sebagai seorang pelakon. Walau apapun kesan yang saya kena tanggung, itu sudah menjadi tanggungjawab saya untuk melakonkan apa sahaja watak tak kiralah susah mana sekali pun.

“Saya akan buat bermati-matian kerana ini adalah minat saya. Bagilah saya watak pesakit kanser, perlu kurus kering, askar atau pelakon atlet sekali pun, saya akan buat yang terbaik dan bagi komitmen 200%,” akhirinya.

Kudrat 1968: High Council akan ditayangkan di Astro Ria (Saluran 104) dan Astro Citra (Saluran 108) setiap Jumaat, jam 9.00 malam bermula 11 September ini.

Karya arahan bersama Zulaikha Zakaria dan Khairi Asyraff itu mempunyai empat episod sebelum diteruskan dalam format filem yang dijadualkan menemui penonton pada tahun ini.

Selain Zarif, naskhah tersebut turut dibintangi Mierul Aiman, Zamarul Hisyam, Dai Fuad, Evertts Gomes dan Chech Harith.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf