Berita

Undian Zila Bakarin Jauh Tinggalkan Peserta KES Lain, Terkejut Lihat Sokongan Luar Biasa – “Di Usia 51 Tahun, Barulah Saya Ada Kelab Peminat.”

Share

Pelakon Zila Bakarin akui terkejut dengan sokongan luar biasa yang diterimanya daripada para peminat sejak pertama kali diumumkan sebagai antara peserta program realiti, Kilauan Emas Selebriti (KES).

Malah selepas berjaya meraih undian yang jauh meninggalkan para peserta lain pada minggu pertama saingan, Zila mendedahkan ini kali pertama sepanjang bergelar anak seni, dia mempunyai kelab peminat sendiri.

Menurut Zila, dia bersyukur kerana dipertemukan dengan insan-insan baik yang sanggup memberikan sokongan sepanjang penyertaannya dalam program tersebut.

“Saya sangat terkejut melihat nilai peratusan itu. Saya baru sahaja berkenalan dengan individu yang menjadi admin fans club saya. Katanya dia akan uruskan hal berkaitan fans club.

“Sepanjang saya bergelar pelakon, saya tidak pernah ada fans club. Di usia sekarang, barulah saya ada kelab peminat. Katanya, di WhatsApp, sudah ada lebih 260 orang yang menjadi ahli.

“Mereka yang uar-uarkan kelab peminat ini kepada ramai orang. Malah, daripada mereka jugalah saya mendapat tajaan busana. Mereka juga buatkan banner fans club. Terharu, terima kasih” katanya kepada MH.

Pelakon drama Sesuci Cinta Sofiya itu berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Kilauan Emas Selebriti yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Sabtu.

Gemuruh Jadi Peserta Pertama, Tetap Puas Raih Pujian Juri

Dalam pada itu, Zila mengakui dia berasa gemuruh apabila dipertanggungjawabkan menjadi peserta pertama yang membuat persembahan pada konsert minggu pertama.

Menurutnya, dia perlu melawan rasa takut dan memberikan sepenuh tumpuan bagi memastikan persembahannya berjalan sebaik mungkin.

“Saya agak marah juga bila dapat tahu tentang giliran persembahan itu. Ini konsert minggu pertama. Sekali nama saya diumumkan sebagai peserta pertama yang akan buat persembahan.

“Saya jadi agak gelisah kerana lagu saya agak sukar. Yang beri cadangan lagu-lagu ini adalah adik beradik saya dan bagi sahaja kepada pihak produksi.

“Nasib baik saya pernah dengar lagu ini. Guru vokal suruh naikkan satu key pula. Kemudian kena ‘ad-lib’. Kesemua ‘ad-lib’ itu saya belasah sahaja sebab 10 kali rehearsal, 10 kali lain jadinya.

“Bila habis sahaja persembahan, sangat lega. Peserta lain kata saya untung sebab sudah habis persembahan. Mereka tak tahu saya sudah mengigil satu badan,” kongsinya lagi.

Mahu Terus Perbaiki Diri, Sedar Bukan Penyanyi Profesional

Pada masa sama, Zila meluahkan rasa teruja apabila persembahannya menerima komen positif daripada barisan juri.

Bagaimanapun, dia memilih untuk kekal realistik kerana menyedari masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki memandangkan dirinya bukan seorang penyanyi profesional.

“Bila pakai ear monitor, saya jadi tak biasa kerana muziknya terlalu kuat. Saya pun tak dengar sangat suara saya macam mana. Tahu-tahu sahaja sudah habis.

“Mungkin ada yang tak nampak kekurangan saya itu. Bila juri kata saya boleh menyanyi, alhamdulillah. Lagipun, mereka tidak mengharapkan terlalu tinggi.

“Takkan mereka nak kata suara saya tak sedap. Saya memang bukan penyanyi. Namun, saya nak cuba juga tunjuk kualiti suara saya.

“Walaupun tak sedap mana tapi masih boleh didengar,” akhirinya.

Malam tadi, Zila berjaya memperoleh markah 70.33% sekali gus menduduki tempat keempat.

Dia turut dinobatkan sebagai pemenang anugerah Emas Berkilau Of The Week, membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000.

Bagaimanapun, wang kemenangan tersebut telah disumbangkan kepada komposer, Rosli Selasih.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf