
Peluru Senja
Keindahan sesebuah babak aksi di layar perak adakalanya menyembunyikan pengalaman mencabar yang terpaksa dilalui barisan pelakon ketika berada di lokasi penggambaran.
Begitu situasi yang boleh digambarkan menerusi filem Peluru Senja, apabila para pelakonnya bukan sahaja terpaksa bergelut dengan tuntutan fizikal untuk menghidupkan latar Tanah Melayu pada tahun 1948, malah berdepan ‘tetamu’ tidak diundang seperti ular dan kala jengking.
Pelakon Fabian Loo mendedahkan, antara pengalaman paling sukar dilupakan berlaku ketika menjalani penggambaran filem Peluru Senja di Bali, Indonesia, khususnya bagi babak serang hendap di kawasan hutan.
“Jika diingat balik saya sendiri tidak sangka kami sanggup lakukan. Realiti ketika tinjauan lokasi dan hari penggambaran sangat berbeza. Ketika tinjauan lokasi, produksi jumpa satu kawasan hutan yang sesuai untuk babak serangan hendap.
“Tapi dua minggu hujan turun tanpa henti telah mengubah lokasi tersebut menjadi lumpur. Suka atau tidak, kami semua terpaksa bergelut dengan keadaan itu sambil ditemani ular, cicak yang besar dan kali jengking yang sebenar.
“Memang terasa seperti mimpi ngeri, tetapi mujurlah tiada sesiapa yang cedera sepanjang penggambaran berlangsung,” kata Fabian yang memegang watak sebagai Chin Liu.
Pengalaman tersebut membuktikan aksi yang bakal disaksikan penonton bukan sekadar bergantung kepada efek atau kehebatan visual, sebaliknya menuntut ketahanan fizikal sebenar daripada barisan pelakon sepanjang proses penggambaran.
Baca Artikel Lain;
Dalam pada itu Asmara Abigail pula menjelaskan, pihak produksi sejak awal tidak mahu Peluru Senja dilihat sebagai sebuah ‘kelas sejarah’ yang berat untuk ditonton generasi muda.
Sebaliknya, kisah yang berlatarbelakangkan tahun 1948 itu digarap dengan elemen aksi thriller moden, sinematografi berani, efek terkini serta muzik yang lebih bertenaga.
Apa yang menarik, pembikinan filem tersebut turut menghimpunkan pelakon dan kru dari pelbagai negara serta latar budaya berbeza, sekali gus membuka ruang kepada mereka mengenali sejarah dan budaya Malaysia dengan lebih dekat.
“Walaupun barisan kru dan pelakon filem ini dibarisi oleh pasukan antarabangsa, kami sangat akrab antara satu sama lain sejak awal penggambaran.
Paling menarik adalah pelakon dari Amerika Syarikat, Brett, sebelum ini tidak pernah mempelajari sejarah Perang Dunia Kedua dari perspektif Malaysia.
“Menerusi filem ini, Brett belajar banyak tentang sejarah dan budaya Malaysia. Jadi, Peluru Senja bukan sekadar projek lakonan untuk kami, tetapi lebih daripada itu,” “kongsi Asmara yang membawakan watak bernama Siti.
Dengan pengalaman di set yang penuh cabaran serta kisah sejarah yang dipersembahkan menerusi pendekatan aksi moden, Peluru Senja dilihat memiliki ramuan untuk menarik bukan sahaja peminat filem perang, malah penonton muda yang mahukan karya sarat dengan aksi, emosi dan sisi sejarah yang jarang dipaparkan di layar perak.
Filem Peluru Senja (The Ghost & the Gun)
merupakan sebuah karya fiksyen yang diinspirasikan daripada peristiwa sebenar yang berlaku di Tanah Melayu pada tahun 1948.Diarahkan oleh Anshul Tiwari, filem itu dibintangi Asmara Abigail, Fabian Loo, Hazman Al Idrus dan Brett Tutor serta bakal menemui penonton di pawagam mulai 28 Ogos ini bersempena sambutan Hari Kebangsaan.
Filem bertaraf antarabangsa itu diedarkan oleh MSK Cinemas Sdn. Bhd. dan diterbitkan oleh Ghost and Gun Limited dengan kerjasama FilmsPositive, LDNO Productions, Limbo Pictures serta Viking Sunset Studios.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.