Categories: Berita Hiburan

TTMM2: “Saya Bagi 100%, Boleh Jadi Obses,” – Usaha ‘Manager’ Linda Jasmine Buahkan Hasil, Ramai Puji Peningkatan Tengku Ratu

Share

Usaha keras guru tari, Linda Jasmine bersama anaknya, Tengku Ratu Haidar akhirnya membuahkan hasil apabila persembahan mereka di program Talk To My Manager musim ke-2 (TTMM2) menerima pujian selepas menunjukkan peningkatan ketara sejak beberapa minggu lalu.

Linda bersyukur apabila komitmen dan latihan intensif yang dilakukan sepanjang pertandingan mula menampakkan hasil positif.

Menurutnya, sejak menyertai program itu, dia memberikan sepenuh komitmen bagi memastikan Ratu mampu menampilkan persembahan terbaik pada setiap minggu.

“Sudah tentu saya berasa sangat berbangga. Kerja keras kami akhirnya membuahkan hasil. Bila saya terlibat di dalam sesuatu perkara, saya akan berikan lebih daripada 100 peratus dan sampai satu tahap, saya boleh jadi obses.

“Hal ini mungkin akan memberikan sedikit kepayahan kepada Ratu. Saya memang tidak akan bertenang. Ada kalanya, saya risau juga jika saya buat Ratu terlampau stress,” katanya kepada MH.

Linda berkata demikian ketika ditemui bersama Ratu selepas tamat saingan minggu kelima TTMM2 yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.

Pada malam sama, Linda dan Ratu turut dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Inspirasi Kasih sekali gus membawa pulang wang tunai RM2,000.

Ratu pula menyifatkan ibunya layak menerima pengiktirafan tersebut selepas bertungkus-lumus memikirkan idea bagi merealisasikan persembahan mereka.

“Ibu saya memang bekerja keras untuk memastikan persembahan saya berada di tahap yang terbaik. Pada malam ini (Ahad), ibu saya memang layak untuk mendapat pengiktirafan.

“Saya juga gembira dengan diri saya sendiri. Saya hanya mahu buat ibu bangga,” katanya.

Persiapan Saat Akhir Linda & Ratu Jadi Cabaran

Walaupun menerima pujian daripada juri, Linda tetap percaya anaknya mampu memberikan persembahan yang lebih baik sekiranya tidak berdepan beberapa masalah teknikal pada saat akhir.

“Saya tahu dia boleh buat. Malah, dia sebenarnya boleh buat lebih baik daripada persembahan malam tadi. Namun, ada beberapa hal yang menjadi penghalang.

“Kita tak cukup kelas latihan, masalah baju dan prop. Baju itu membuatkan Ratu susah bergerak. Ia tidak mengikut perancangan asal.

“Ratu sebenarnya perlu tampil cantik dan menyanyi dalam keadaan duduk di atas cengkerang itu. Dia harus kelihatan seperti duyung. Pada saat akhir, ia tidak boleh dilakukan.

“Segalanya perlu diubah pada jam 3 pagi. Saya kena sediakan barang prop pada saat akhir. Ada yang kata buatlah guna apa yang ada tapi saya tetap tak mahu mengalah. Saya akan berjuang sehingga ke akhirnya,” kongsinya lagi.

Bagaimanapun, Linda tetap bersyukur kerana segala cabaran yang dihadapi akhirnya dapat diselesaikan dengan baik walaupun dalam tempoh persiapan yang sangat singkat.

“Perkara ini agak sukar untuk digambarkan. Walaupun kita tahu apa yang kita nak tapi kita tak selalu boleh dapat apa yang kita mahukan. Segalanya perlu dilakukan dalam waktu yang sangat singkat.

“Kita hanya ada beberapa hari untuk membuat persiapan. Masalah juga sering berlaku. Kita tidak akan dapat apa yang kita bayangkan.

“Jadi, kita buat sahaja yang terbaik dengan apa yang kita ada. Kita berikan yang terbaik dan banyakkan berdoa,” akhirinya.

Cemerlang Di Minggu Kelima TTMM2

Terdahulu, persembahan Ratu menerusi lagu Part Of Your World berjaya memukau barisan juri dan penonton, sekali gus melayakkan dirinya berada di tangga ketiga keseluruhan.

Tempat pertama pula menjadi milik gandingan Hussain dan Jamilulhayat yang tampil cemerlang menerusi lagu Bollywood berjudul Janam Janam.

Sementara itu, Azeva bersama pengurusnya, Datuk A. Aida terus mengekalkan momentum cemerlang apabila menduduki tempat kedua.

Saingan minggu kelima TTMM2 turut menyaksikan tiada peserta atau pengurus yang tersingkir. Kesemua peserta bakal kembali bersaing menerusi tugasan duet pada minggu hadapan.

TTMM2 dikendalikan oleh pengacara legenda, Aznil Nawawi bersama barisan juri, AC Mizal dan Sarimah Ibrahim.

Setiap pasangan ‘pengurus-artis’ dinilai secara keseluruhan dengan pecahan 60 peratus untuk pengurus dan 40 peratus untuk artis di bawah seliaan masing-masing.

Saksikan TTMM2 setiap Ahad, jam 9 malam di  Astro Ria (saluran 104), bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam, selain boleh distrim menerusi  Astro GO dan  Sooka.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Published by
Aizam Manaf