Timang Anak Pada Usia 47 Tahun, Cameron Diaz Jaga Privasi Anak, “Kami Tak Akan Kongsi Gambar”

Share

Hasil perkahwinan bersama Benji Madden, pelakon popular Hollywood, Cameron Diaz dikurniakan bayi perempuan yang diberikan nama Raddix Madden.

Perkara itu diumumkan Diaz menerusi  Instagramnya.

“Selamat tahun baru daripada keluarga Madden! Kami sangat gembira dan bersyukur untuk memulakan dekad baru ini dengan mengumumkan kelahiran anak perempuan kami, Raddix Madden.

“Raddix telah memikat hati kami dan melengkapkan keluarga kami,” tulisnya.

Malah, bintang berusia 47 tahun itu turut memaklumkan dia dan suami mahu menjaga privasi bayi perempuan mereka dan tidak akan memuat naik sebarang gambar.

“Kami sangat gembira untuk berkongsi berita ini tetapi kami ingin melindungi privasi anak kecil kami.

“Oleh itu, kami tidak akan memuat naik gambar atau berkongsi maklumat lanjut.

“Apa yang boleh kami katakan adalah dia sangat comel,” tulisnya lagi.

Terdahulu, Diaz dan Madden,40 yang merupakan vokalis dan gitaris kumpulan rock popular Good Charlotte berkahwin pada 2015.

 

Foto: Instagram Cameron Diaz

IKLAN