
Juri tetap Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), Datuk Ramli MS memuji semangat juang yang ditunjukkan oleh penyanyi, Nubhan yang berjaya menyampaikan lagu Bukan Lagi Kita dengan baik seterusnya menduduki tangga pertama di konsert minggu ke-9 GV12.
Menurut Ramli, pada malam tersebut, Nubhan telah menunjukkan peningkatan yang sangat ketara meskipun nyanyiannya teruk dikritik sepanjang sesi latihan berlangsung.
‘Tiga Hari Tak Henti Kena Maki, Tapi Dia Pejuang’

“Nubhan memang menunjukkan banyak peningkatan. Dia merupakan seorang pejuang. Selama tiga hari, Nubhan tak berhenti kena maki dengan saya ketika rehearsal.
“Saya memang tak bagi peluang walaupun dia merupakan pelajar saya. Tiada istilah anak emas di sini. Namun, semangat juangnya layak dipuji.
“Ketika latihan pada hari Sabtu, saya nampak dia semakin bagus. Sudah tentu saya gembira. Namun, ia perasaan yang tak boleh saya nak tunjukkan.
“Mana-mana peserta pun saya bagi layanan sama rata. Apa yang mereka rasa tak cukup, bagitahu sahaja dan saya akan ikut. Nubhan seorang yang keras kepala, suka melawan dan bekerja keras. Hasilnya terbukti malam ini,” katanya kepada MH.
Maestro muzik itu berkata sedemikian ketika ditemui selepas berakhir konsert minggu ke-9 GV12 yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.
Katanya lagi, sepanjang sesi latihan, dia terpaksa menggunakan teguran keras bagi memastikan Nubhan dapat menyampaikan lagu tersebut dengan cara dan teknik yang betul.

“Banyak perkara yang dia selalu leka. Nyanyi ikut suka dan tak cukup penghayatan. Bila kita bagi data-data tentang persembahan, dia akan terima dan belajar.
“Kerana itu saya anggap Nubhan ini merupakan peserta yang sanggup bekerja keras,” ujarnya lagi.
Ramli Jelaskan Penyingkiran Krisya
Sementara itu, Ramli turut mengulas lanjut mengenai penyingkiran Krisya di konsert minggu ke-9, malam tadi.
Menurutnya, lagu Hening Rindu itu dikatakan terlalu besar untuk dibawakan oleh Krisya kerana julat vokalnya amat berbeza.

“Ini merupakan keputusan yang dibuat mengikuti majoriti pihak juri. Seperti apa yang Hetty Koes Endang katakan, Krisya mengalami penurunan daripada aspek teknikal dan penghayatan.
“Lagu Hening Rindu itu juga terlalu berat buat Krisya. Walau dia menyanyi dalam keadaan sihat sekali pun, agak susah untuk dia menyampai lagu itu kerana range vokalnya jauh berbeza. Ibarat hujung dunia ke hujung dunia.
“Kita sudah cuba untuk turunkan key dan lagu itu menjadi agak kelam. Secara tidak langsung ia menyukarkan cara nyanyian. Pernafasan juga kurang cukup. Automatik pitching akan menurun.
“Itupun saya sudah tukar banyak aspek termasuklah teknik ‘pause’ agar Krisha boleh ambil nafas. Namun, tak nafikan lagu itu memang agak berat,” kongsinya lagi.
Terdahulu, Nubhan berjaya mengekalkan momentum cemerlang apabila meraih markah tertinggi sebanyak 74.50%.

Sementara itu, Krisha pula terpaksa akur apabila nyanyiannya pada minggu ini gagal menambat hati juri seterusnya memperoleh markah tercorot iaitu 54.50%.

GV12 bersiaran secara langsung dari MBSA Shah Alam mulai 2 November 2025, setiap Ahad, jam 9 malam, dan dipancarkan menerusi saluran Astro Ria (saluran 104).
Program ini juga boleh disaksikan melalui strim secara On Demand di Astro GO dan sooka.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




