
Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, penyanyi Aina Abdul mengakui dia lebih gemar mengenakan pakaian yang ringkas dan selesa setiap kali menyambut Aidilfitri.
Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani berkata, dia senang untuk memilih persalinan Melayu tradisional sesuai dengan suasana hari raya.
“Setiap tahun pilihan baju raya saya ringkas saja. Begitu juga dengan tahun ini, tidak ada yang ekstravaganza.
“Sejujurnya mata saya lebih tertarik kepada baju kurung Kedah dan baju kurung kain kapas (cotton).
“Sebab bagi saya ia lebih estetik dan sesuai untuk digayakan kepada insan bernama Nurul Aina,” katanya yang sinonim dengan imej unik setiap kali muncul membuat persembahan.
Aina pada masa sama menambah, sejak bergelar penyanyi dia gemar mengeluarkan sampul raya sendiri untuk diberikan kepada peminat dan kanak-kanak.

“Sekarang ini saya suka nak keluarkan sampul raya sendiri. Ini adalah tahun kedua saya tampil dengan sampul raya yang menampilkan wajah saya.
“Sekurang-kurangnya sampul raya itu menjadi satu tanda ingatan kepada si penerima itu,” katanya yang turut muncul dengan lagu raya terbaharu, Jalan-Jalan Hari Raya.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

Siapa sangka daripada hanya memuat naik video secara suka-suka di aplikasi TikTok, ia akhirnya memberi rezeki berganda buat pelakon baharu, Hazrat Muaz apabila menerima tawaran berlakon membintangi beberapa buah drama tempatan.
Malah, dia turut diberi peluang untuk mengacarakan program travelog baru-baru ini.
“Sebenarnya saya buat video tersebut secara suka-suka sahaja. Tak sangka pula video berkenaan mendapat sambutan hangat daripada pengguna sehingga mendapat jumlah tontonan tinggi.
“Bila video berkenaan ‘blow up’, ada beberapa tawaran berlakon datang. Saya pula memang meminati bidang ini sejak dahulu dan rasanya ini peluang terbaik untuk saya menceburi bidang seni seperti mana yang diimpikan sejak dahulu,” katanya.
Meskipun masih baharu, lelaki yang berusia 29 tahun ini teruja apabila dilamar untuk membintangi drama Panggil Aku Dahlia yang akan tamat penggambaran bulan ini.
Jelasnya, dia teruja membawakan watak King Shah selain dapat bergandingan dengan beberapa nama besar yang lain termasuklah Dato’ Sri Eizlan Yusof, Zila Bakarin, Azah Aziz, Lisdawati dan Raja Azmi yang sememangnya merupakan pelakon hebat tanah air.
“Bukan mudah sebenarnya untuk orang baharu seperti saya menceburi bidang ini sementelah saya sendiri tiada pengalaman. Apa yang membanggakan tatkala mereka yang lebih senior memberikan banyak tunjuk ajar kepada saya untuk menghidupkan watak yang diberi.
“Memang saya menghormati sikap baik yang ditunjukkan mereka sepanjang penggambaran. Saya sendiri perlu membuang rasa malu dan kekok untuk memberikan hasil yang terbaik kepada produksi,” tambahnya lagi.
Pun begitu, Hazrat yang juga perunding takaful mengakui ada mengikuti kelas lakonan sebelum masuk ke set. Dia mendapatkan khidmat beberapa orang guru termasuklah Lan Siro & Jaja Ishak yang banyak membantunya menapak sebagai seorang pelakon baharu.
Dengan ilmu yang diberikan, dia mula membina kepercayaan pihak produksi Jaja Ishak Channel Sdn Bhd yang juga merupakan penerbit pertama yang mengesan bakatnya sehingga memberikan peranan pelakon pembantu utama dalam drama Panggil Aku Dahlia.
“Bukan mudah sebenarnya mahu membina kepercayaan orang kepada kita. Bila sudah dapat peluang, saya harus lakukan yang terbaik bagi membalas jasa mereka. Sebab itu saya suka berada di set penggambaran dan bercampur dengan pelakon senior.
“Mereka tidak pernah lokek dengan ilmu pengetahuan dan dalam masa yang sama membantu orang baharu seperti saya untuk ke hadapan,” kata anak kelahiran Pahang ini lagi.
Meskipun baru menceburi bidang ini, Hazrat bersyukur kerana sudah dilamar untuk membintangi beberapa naskhah termasuklah telefilem Lafaz Yang Termakbul untuk RTM, Elhan Untuk Nian (Salam HD), Travelog Pahang First, Dokumentari Permata Tanjung Gahai dan beberapa naskhah lain.
Sebagai orang baharu dia banyak mencari peluang termasuklah menghadiri banyak uji bakat yang dijalankan oleh pihak produksi. Tambahnya, pengalaman tersebut amat berguna meskipun ada kalanya pulang hampa.
“Apabila menghadiri uji bakat, ada kala saya rasa begitu kerdil sekali. Pelakon yang lain datang membawa pengalaman sedangkan saya masih digelar orang baharu. Tapi itu membuatkan saya bersemangat untuk merebut peluang yang ada.
“Tapi melalui uji bakat ini juga saya mendapat beberapa tawaran. Alhamdulillah, semuanya dengan izin Allah. Saya hanya berusaha selebihnya saya serahkan kepada Yang Maha Kuasa,” katanya lagi.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi! Download aplikasi sekarang!

Kontroversi sekali lagi melanda usahawan selebriti terkenal Datuk Aliff Syukri berkenaan iklan acah video lagu raya terbaharunya yang dimuat naik ke ruangan media sosial.
Menimbulkan suasana kurang senang dalam kalangan masyarakat yang rata-rata tidak bersetuju dengan penghasilan video yang dilihat kurang sopan, Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Salleh tampil memuat naik satu video menyeru agar masyarakat memboikot produk keluaran usahawan itu.
Mengeluarkan kenyataan tersebut menerusi sebuah video berdurasi 1.58 minit yang dimuat naik di TikTok peribadinya, Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka bahagian Merlimau itu dengan tegas meluahkan pendapatnya.
“Saya baru tengok video Datuk Aliff Syukri. Tak tahu nak tengok siapa. Sotong atau cacing pun kita tak tahu. Apa yang tergedik-gedik duduk di atas meja menari? Saya rasa ini adalah amat tidak sensitif di kala bulan Ramadan ini.
“Ini bukan kali pertama, sudah banyak kali Datuk Aliff buat, malah pada tahun 2022 telah didakwa di mahkamah dan kes itu masih lagi berjalan hingga ke hari ini atas kesalahan sama.
“Takkanlah setiap tahun nak buat nak minta maaf, tak boleh jaga ke sensitiviti umat Islam di kala bulan Ramadan ini. Nak keluar video nak keluar lagu, keluarlah. Tetapi janganlah keluarkan lagu dan juga video yang sakit hati dan sakit mata orang tengok.
“Langsung tak jaga sensitiviti dengan pakain begitu dengan menari nak kata sotong nak kata cacing pun tak tahu. Jadi cukup-cukuplah, kepada seluruh rakyat Malaysia kalau KK Mart kita boleh boikot KK Mart. Kali ini kita kena berikan pengajaran yang keras.
“Pertama kita mohon pihak kementerian untuk delete dan juga tarik balik video yang telah dikeluarkan. Kedua, tindakan yang keras iaitu tindakan undang-undang perlu diambil.
“ketiga inilah bagaimana kita meminta rakyat semua rakyat Malaysia bokot KKmart atas dasar tidak jaga sensitiviti di negara ini, sama juga kita minta seluruh umat Islam untuk kita bagi pengajaran yang keras. Kita boikot segala produk yang dikeluarkan Datuk Aliff.” ujar panjang lebar tentang isu tersebut.
Dalam tinjauan Media Hiburan ke Instagram Datuk Aliff Syukri pula, usahawan selebriti tersebut telah memuat naik sebuah video dengan mengatakan bahawa video lagu raya tersebut hanyalah sekadar April Fool.
“Cuba tulis di bawah siapa yang kena prank dengan saya? Kepada yang menunggu lagu saya itu, April Fool. Maaf semua saya hanya menyakat korang jer, janganlah serius sangat. Hidup ni kena happy jer,” ujarnya.
Manakala dalam satu hantaran lain pula bapa kepada enam cahaya mata itu berkata, “Maafkan saya. Mohon yang ada video yang korang tak senang tu delete lah, tak payah dipanjang-panjangkan. Maaf ya sahabat semua.”
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi! Download aplikasi sekarang!

Penyanyi Shila Amzah hanya mahu memberikan sepenuh tumpuan terhadap kandunganya dan belum bersedia untuk bertemu ibu serta adik-beradiknya selepas berdepan konflik keluarga sejak Oktober lalu.
Menurut Shila atau Shahila Amir Amzah, jika emosinya terganggu, situasi tersebut berkemungkinan akan memberikan kesan terhadap kandungannya itu.
“Hubungan saya dengan keluarga masih seperti sebelum ini juga. Tiada penambahbaikkan dan tidak juga berkurang.
“Kini, saya mengambil pendekatan ikut nasihat suami untuk memberikan fokus pada kehamilan. Saya tak nak stress. Bila mengandung pada usia 30-an ini, kita kena tenang dan emosi harus dijaga.
“Saya ada kawan-kawan yang punyai pengalaman bila mereka stress, kandungan tidak menjadi. Saya jadi trauma,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu, Memori Tercipta itu berkata sedemikian ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa dan Tayangan Program Raya Astro baru-baru ini.
Katanya lagi, dia juga akan menyambut ketibaan Hari Raya Aidiltri dengan keluarga kecilnya sahaja.
“Walaupun ini bulan yang baik dan kita boleh perbaiki apa yang sepatutnya, namun, suami ingatkan saya supaya jangan fikir dahulu. Nanti, kita selesaikan kemudian.
“Sejujurnya, hati saya masih belum bersedia sepenuhnya untuk berjumpa keluarga. Saya ada mesej mereka tapi jarang.
“Jadi, pada hari raya nanti, saya hanya fokus kepada kandungan dan keluarga kecil saya sahaja.
“Kalau keluarga nak datang beraya, saya tetap terbuka. Cuma untuk saya ada inisiatif sendiri, mungkin belum lagi,” ujarnya lagi.
Ditanya sama ada hubungan kekeluargaan itu akan menjadi lebih baik dengan kehadiran cahaya mata kedua nanti, Shila memohon semua pihak menitipkan doa yang baik.
“Kita doakan sahaja yang baik-baik. Saya pun tak berani cakap lebih-lebih. Yang pastinya, apa yang berlaku itu punyai hikmah tersendiri.
“Kita tengoklah apa yang berlaku. Apa yang terjadi, tetap akan terjadi,” katanya lagi.
Jelas Shila lagi, meskipun dia kini memberikan fokus terhadap diri sendiri, namun, tanggungjawab sebagai anak, tidak pernag diabaikannya.
“Alhamdulillah, saya kini jauh lebih tenang. Namun, tanggungjawab saya tetap berterusan. Saya sudah menjalankan tanggunjawab sewajarnya pada setiap bulan.
“Namun, ia semampu saya sahaja. Kalau bukan dari segi fizikal, ada cari lain,” akhirinya.
Terdahulu, kisah keluarga Shila menjadi bulan ramai sejak tahun lalu selepas dia bertindak menjual banglo yang didiami ibu serta tiga orang adik-beradik yang lain.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi! Download aplikasi sekarang!

