
Pelakon, Rita Rudaini meluahkan rasa bangga atas pencapaian luar biasa anak sulungnya, Airit Rayyan yang berjaya meraih pingat emas dalam acara 110 meter lari berpagar pada Kejohanan Olahraga MRSM Kebangsaan 2026.
Lebih membanggakan, Airit yang mewakili kontinjen Selangor turut mencipta sejarah apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan MRSM dengan catatan masa 15.1 saat.
Perkongsian gembira itu dimuat naik pelakon drama Jiwa Seorang Pentaksub menerusi satu hantaran di Instagram.
“Tahniah juara. Bangga jadi sebahagian daripada kontinjen Selangor. Terima kasih kepada guru-guru, jurulatih dan semua rakan seperjuangan yang sentiasa ada di belakang kenyaan ini.
“Terus merendah diri dan terus berlari. Terus cipta sejarah. Ini hanyalah permulaan,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Rita turut merakamkan penghargaan kepada para guru dan jurulatih yang tidak pernah jemu membimbing serta melatih Airit sehingga berjaya bergelar juara.
“Di belakang seorang juara, pasti ada guru yang tidak pernah jemu membimbing. Mereka tidak meminta nama mereka disebut, cukup melihat anak didik berdiri megah di podium.
“Itulah kebahagiaan seorang pendidik. Terima kasih Cikgu Izwan dan Cikgu Zarul. Jasa cikgu jadi kenangan untuk Airit Rayyan di tahun akhir sebagai anak didik cikgu di MRSM SUBES.
“Terima kasih kerana membawa Airit hingga mewakili Selangor,” kongsinya lagi.
Terdahulu, video yang memaparkan aksi cemerlang Airit dalam acara 110 meter lari berpagar turut mencuri perhatian ramai.
Rata-rata netizen menzahirkan rasa kagum selain tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada Airit dan Rita atas kejayaan yang membanggakan itu.
Untuk rekod, Rita juga mempunyai seorang lagi anak lelaki, Airit Qaqa Arjuna.
Kedua-dua mereka merupakan cahaya mata hasil perkahwinan Rita bersama pemain bola sepak, Aidil Zafuan Abd Razak. Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2008 sebelum sah bercerai dengan talak satu lima tahun kemudian.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini