Uncategorized

Terumbu Karang Musnah, Penyu Mati Akibat Plastik & ‘Pukat Hantu’… Filem Ini Bakal Buka Mata Ramai

Share

Isu kemusnahan ekosistem marin dan ancaman terhadap keterjaminan makanan menjadi mesej utama yang cuba diketengahkan menerusi filem Takdir Akhir: Last Dive, sebuah naskhah yang kini mula mendapat perhatian kerana pengisian konservasi laut yang cukup mendalam.

Filem terbitan Produksi Seni 2020 itu berjaya menterjemahkan kepentingan menjaga terumbu karang, bukan sahaja sebagai elemen keindahan dasar laut, malah sebagai ‘kilang’ utama sumber ikan komersial yang menjadi bekalan makanan manusia setiap hari.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Azahari Othman, yang hadir ke pratonton khas filem tersebut, usaha pasukan produksi dalam mengetengahkan isu pemeliharaan dan pemuliharaan kehidupan marin wajar dipuji.

Papar Realiti Bom Ikan & Pukat Hantu

Beliau berkata, antara babak yang paling menyentuh emosi penonton adalah paparan aktiviti bom ikan yang masih berlaku sehingga hari ini.

“Tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja memusnahkan terumbu karang yang mengambil masa ratusan tahun untuk membesar, malah menyebabkan ikan mati sia-sia dengan kualiti yang merosot.

“Selain itu ia turut menonjolkan ancaman ‘ghost net’ atau pukat hantu yang menjadi perangkap maut kepada hidupan laut di kawasan terumbu karang.

“Isu pukat hantu ini sangat besar. Ia menyebabkan ikan kita mati begitu sahaja. Sebab itu, inisiatif membuang pukat ini bersama beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan syarikat komersial sangat digalakkan untuk menyelamatkan khazanah laut kita,” katanya.

Bahaya Plastik Turut Jadi Sorotan

Tambah beliau lagi, antara mesej paling kuat yang diselitkan di dalam filem tersebut ialah isu pencemaran sampah plastik di kawasan pesisir pantai.

“Pelancong diingatkan agar tidak membuang sampah ke dalam laut kerana ia mengganggu kehidupan marin secara drastik. Penonton juga diberi kesedaran betapa bahayanya plastik yang sering dianggap sebagai obor-obor oleh penyu.

“Apabila plastik tersebut dimakan, ia akan tersekat di dalam perut dan akhirnya membawa kepada kematian haiwan terbabit.”

Beliau turut menyifatkan filem berkenaan berjaya mengekalkan momentum suspen dan keterujaan penonton dari awal hingga ke adegan terakhir, selain sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat.

Hadir sama pada tayangan tersebut ialah Penerbit Eksekutif Wendy Wong dan Nancie Foo

.

Turut hadir ialah penulis lirik terkenal Habsah Hassan, beberapa pensyarah universiti serta penuntut daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan.

Filem bergenre docu-filem itu menampilkan lakonan Shiqin Kamal, Aniq Durar, Fify Azmi, Amerul Affendi dan Sandra Lim, selain penampilan istimewa Ras Adiba Mohd Radzi serta penyanyi Fauziah Latiff.

Naskhah tersebut dijangka ditayangkan di pawagam seluruh negara tidak lama lagi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Published by
MH