Terjun Ke Bidang Politik? Zizan Razak Perjelas Pertemuan Dengan Tan Sri Annuar Musa

Share

Pelakon dan pelawak popular, Zizan Razak menafikan perjumpaannya bersama Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini adalah bersifat politik.

Menurut Zizan, perjumpaan tersebut langsung tiada kena mengena dengan sebarang agenda politik sebaliknya mereka membicarakan mengenai situasi semasa dan hala tuju industri seni tanah air.

“Saya memang respek dan kagumi apa yang dilakukan oleh Tan Sri Annuar Musa. Beliau datang berjumpa saya untuk bertanya tentang situasi keseluruhan industri seni kita ketika ini.

“Saya pun telah kongsikan segalanya kepada beliau. Sama ada daripada aspek prosedur kerja, masa kerja, bayaran artis, tugas-tugas wartawan dan banyak lagi.

“Saya juga ada berbincang mengenai isu royalti. Royalti ini biasanya hanya melibatkan para penyanyi tetapi untuk para pelakon mungkin kurang diperkatakan.

“Bila filem-filem kami ditayangkan di pawagam, kami dapat hasilnya tapi bila di tv, perkara sama tidak berlaku,” katanya kepada MH.

Pelakon filem, Abang Long Fadhil ini berkata sedemikian ketika ditemui di sidang media pengenalan filem, Rompak yang berlangsung di Finch KL, The Westin Kuala Lumpur pada Rabu.

Dalam pada itu, Zizan mengakui dirinya berasa amat teruja kerana perkongsiannya itu mendapat reaksi positif daripada pihak kerjaaan.

“Saya pun gembira kerana beliau memang ingin memberikan fokus terhadap permasalahan-permasalahan yang berlaku di industri kita.

“Beliau juga ingin tahu kepedihan dan kesakitan yang dilalui oleh setiap anak seni. Bukan sekadar populariti dan soal kewangan sahaja. Saya rasa perkara yang pedih ini juga beliau patut tahu,” katanya lagi.

Zizan berkongsi foto pertemuannya bersama Tan Sri Annuar sewaktu beliau berkunjung ke restorannya baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Zizan bakal muncul menerusi filem terbaru yang berjudul Rompak.

Filem aksi ini dikhabarkan mempunyai konsep-konsep rompakan seperi filem antarabangsa.

Difahamkan, Rompak bakal menjadi filem pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang mengetengahkan konsep ‘Non-Fungible Token’.

Filem Rompak ini dijangka bakal memulakan pengambaran pada bulan Febuari dan dijadualkan akan ditayangkan di saluran Astro First pada Jun 2021.

Selain Zizan, Rompak turut dibintangi ramai pelakon-pelakon hebat antaranya Daiyan Trisha, MK K-Clique, Siti Khadijah, Tony Eusoff dan ramai lagi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

IKLAN